KUALA LUMPUR- CIMB Research menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2018 kepada 4.7 peratus berbanding 5.2 peratus sebelum ini bersandarkan kepada perkembangan terbaharu termasuk gangguan bekalan dalam sektor pertanian dan perlombongan selain impak global terhadap sektor pengilangan negara.
Dalam notanya, firma itu berkata, unjuran pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus itu lebih rendah berbanding ramalan Bank Negara Malaysia yang menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang sekitar lima peratus berbanding unjuran awal 5.5 peratus hingga 6.0 peratus sebelum ini.
“Kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak kosong peratus di samping pasaran buruh yang lebih baik memberi peluang kepada pengguna untuk menyokong ekonomi Malaysia ketika enjin-enjin pertumbuhan yang lain hilang kuasa terutamanya sektor awam.
“Selain kehilangan pendapatan GST, perbelanjaan kerajaan juga terbantut berikutan pendedahan mengenai tuntutan GST yang tidak dibayar kepada perniagaan yang berjumlah RM19.4 bilion yang mana Kementerian Kewangan telah memberi penangguhan sehingga 2019.
“Gangguan bekalan dalam sektor pertanian dan perlombongan dijangka berterusan sehingga akhir tahun manakala tinjauan masa hadapan sektor pengilangan masih diselubungi tekanan dari faktor global,” katanya.
Menurut CIMB Research, BNM dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mengekalkan kestabilan makroekonomi.
“Melainkan inflasi kekal lemah, kami merasakan masih ada ruang untuk BNM melonggarkan dasar monetari bagi merangsang permintaan,” katanya.
Jumaat lalu, BNM mengumumkan KDNK negara berkembang 4.5 peratus pada suku kedua 2018 berbanding tempoh sama tahun lalu. Pertumbuhan dipacu oleh sektor swasta.
Jelasnya, gangguan bekalan telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi semakin perlahan kepada 4.5 peratus pada suku kedua berbanding 5.4 peratus suku sebelumnya. – MalaysiaGazette