SINGAPURA – Harga minyak merosot dalam dagangan hari ini berikutan kebimbangan pertumbuhan
ekonomi yang perlahan membimbangkan pasaran.
Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan pada AS$71.78 setong pada 0019 GMT, turun AS$0.05 sen berbanding harga penutup akhir.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut AS$0.04 sen kepada AS$65.87 setong.
“Data perindustrian yang mengecewakan dari China bersama-sama dengan kebimbangan mengenai ekonomi pasaran baru muncul yang berpusat di Turki memberi kesan ke atas komoditi,” kata Edward Bell dari Bank NBD.
Di Amerika Syarikat, jumlah penggerudian tidak berubah kepada 869, menurut firma perkhidmatan tenaga, Baker Hughes pada hari Jumaat.
“Penurunan harga baru-baru ini dalam penanda aras perlu mengimbangi kadar pertumbuhan dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran Amerika Syarikat dan menyebabkan pertumbuhan keluaran keseluruhan perlahan,” kata Bell.
Di luar Amerika Syarikat, para pedagang berkata, sekatan ke atas Iran akan turut memberi kesan kepada harga minyak.
Sekatan ke atas Iran dijadualkan mulai November ini, juga mensasarkan kepada sektor petroleum.
Iran menghasilkan sekitar 3.65 juta tong sehari minyak mentah pada Julai lalu, menjadikan ia pengeluar ketiga terbesar dalam OPEC selepas Arab Saudi dan Iraq. – MalaysiaGazette