Home Utama Jika mahu teruskan ECRL kena swastakan, kata Daim

Jika mahu teruskan ECRL kena swastakan, kata Daim

Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan menasihatkan kerajaan supaya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diswastakan sekiranya tetap berkeras untuk meneruskan projek tersebut.

Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin berkata, CEP tetap berpendapat kos ECRL terlalu tinggi dan projek itu tidak membawa keuntungan.

“Saya sudah menasihatkan kerajaan yang kos projek ini terlalu mahal dan tidak bermanfaat. Sekiranya ada pihak yang mengatakan projek itu bermanfaat, saya menasihatkan kerajaan menyuruh pihak tersebut melaksanakan sendiri (penswastaan),” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tambah Daim, sekiranya kos projek bernilai RM55 bilion itu dikurangkan, kerajaan tetap perlu mengambil kira kos operasinya sama ada mampu ditanggung oleh kerajaan atau tidak.

“Ia bukan sahaja mengenai kos pembinaan tetapi juga pendapatannya. Apakah pendapatan yang dijana ECRL mampu menampung kos operasinya? Itu juga perlu diberi pertimbangan,” katanya lagi.

Selain ECRL, bekas Menteri Kewangan itu turut ditanya mengenai cadangan mengenai projek kereta nasional ketiga.

Beliau yang juga merupakan antara orang rapat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, idea sebenar Perdana Menteri bukanlah hendak mewujudkan sebuah lagi syarikat kereta nasional selepas Proton dan Perodua sebaliknya beliau mahu menambah baik sektor pengilangan di negara ini.

Jelas Daim, sektor pengilangan adalah sektor masa hadapan yang mana kereta elektrik dan kereta tanpa pemandu bakal mengambil tempat kereta konvensional.

“Kereta elektrik dan kereta tanpa pemandu adalah masa hadapan jadi rakyat perlu dilatih untuk mengkaji mengenai komponen-komponennya. Banyak perkara baharu yang perlu dikaji,” ujarnya.

Dalam perkembangan berbeza, Daim turut ditanya mengenai kelewatan kerajaan menyelesaikan isu 1MalaysiaDevelopment Bhd. (1MDB).

Nasihatnya, rakyat perlu bersabar kerana siasatan masih berlangsung dan tempoh 100 hari tidak mencukupi untuk menyediakan pendakwaan kes 1MDB.

“Sebelum didakwa, seseorang itu mestilah disiasat terlebih dahulu dan siasatan hanya bermula 100 hari lepas. Keutamaan ketika ini hanyalah untuk memastikan individu-individu tertentu dijadikan sasaran dahulu.

“Anda kena tanya Peguam Negara sama ada beliau sudah bersedia memulakan pendakwaan atau tidak? Sebelum ini, kita tiada Peguam Negara tetapi sekarang sudah ada.

“Ya, kita memang hendak melihat pihak yang bersalah dikenakan hukuman tetapi kita perlukan bukti. Jika hendak mulakan pendakwaan sekurang-kurangnya 90 peratus kita yakin mereka boleh disabitkan kesalahan,” akui Daim.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Daim membina kemudahan awam utk rakyat tidak menjana hasil? Rakyat tadah tangan bersyukur adalah hasil yg tidak ternilai. Itu yg akan kekal dan d bawak bukan duit dlm bank yang berjuta2. Come on, be reasonable

Comments are closed.