Home Ekonomi Kenaikan harga tetap berlaku semasa SST

Kenaikan harga tetap berlaku semasa SST

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat seolah-olah masih terasa hati serta merajuk dengan kritikan daripada pembangkang khasnya Pas berikutan kenyataan ‘menghina’ beliau beberapa hari lepas di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Rakyat berkemungkinan akan terkesan daripada segi kewangan atau kenaikan harga susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini.

Akan tetapi, kesan daripada pelaksanaan SST termasuk kenaikan harga adalah hampir separuh lebih ringan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) mengikut jumlah kutipan GST sebanyak RM44 bilion berbanding RM21 bilion di bawah SST.

Ini kerana, skop cukai yang dikenakan lebih rendah, iaitu liputan sebanyak 60 peratus daripada bakul barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang lebih luas untuk GST
berbanding dengan 38 peratus di bawah SST.

Menteri Kewangan berkata, pengecualian sebanyak 5,443 barangan dan perkhidmatan di bawah SST yang merupakan 10 kali ganda lebih besar daripada 545 item yang dikecualikan di bawah GST serta 11,197 barang yang dikenakan cukai GST berbanding dengan 6,405 barang yang dikenakan cukai SST.

Jelas sekali, kata Lim Guan Eng, jumlah barangan dan perkhidmatan yang akan dicukai di bawah SST adalah jauh lebih kecil daripada semasa era GST.

“SST dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat kerana sistem percukaian ini hanya pada satu peringkat berbanding GST.

“SST hanya dikenakan peringkat pengilang/ pengimport/ penyedia perkhidmatan sahaja berbanding GST yang dikenakan pada setiap rangkaian bekalan,” katanya bagi menjawab soalan lisan Senator Datuk Seri Khairudin Abd. Samad (BN).

Guan Eng berkata, jangkaan kutipan hasil SST yang akan dilaksanakan pada 1 September 2018 adalah sebanyak RM21 bilion setahun berbanding hasil GST sebanyak RM44 bilion yang dijangka dikutip pada tahun 2018.

Ini bermaksud, beban cukai ke atas pengguna adalah jauh lebih rendah kerana RM23 bilion telah dikembalikan kepada rakyat.

Sehubungan itu, katanya, peningkatan harga bagi beberapa barangan berikutan pelaksanaan SST akan secara amnya lebih rendah berbanding dengan peningkatan yang disebabkan oleh pelaksanaan GST pada 1 April 2015.

“Selain itu, secara perbandingan, skop pengenaan SST adalah lebih kecil, yang mana cukai jualan pada kadar 5 peratus dan 10 peratus akan dikenakan ke atas produk dikilangkan dan produk diimport tertentu.

Manakala cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus akan dikenakan ke atas perkhidmatan yang tertentu sahaja.

Secara amnya, barangan tertentu seperti makanan diproses akan dikenakan cukai jualan pada kadar 5 peratus, kecuali barangan tertentu seperti ikan bilis dan udang kering yang akan diberikan pengecualian.

Tambah Guan Eng, memandangkan SST merupakan cukai satu peringkat dengan jumlah pendaftar yang kecil berikutan penetapan nilai ambang bagi tujuan pendaftaran dinaikkan kepada RM500,000, masalah aliran tunai perniagaan di bawah sistem GST yang disebabkan oleh kelewatan bayar balik tuntutan cukai input dapat dielakkan.

Ia membantu peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan kerana tidak mendapat balik, sekaligus dapat mengawal kadar inflasi.

“Sekiranya berlaku peningkatan, ia tidak setinggi seperti yang berlaku semasa GST diperkenalkan,” ujarnya.

Menteri itu menambah, penetapan kadar sifar GST pada 1 Jun 2018 telah secara jelas dan ketara membolehkan rakyat berjimat 6 peratus daripada kos pembelian.

Menurut statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Harga Pengguna pada bulan Jun 2018 merekodkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding dengan 1.8 peratus pada bulan Mei 2018.

“Ini adalah kali pertama dalam tempoh 40 bulan (sejak Februari 2015) kadar inflasi adalah di bawah satu peratus,” katanya. – MalaysiaGazette