Home Utama Mandat CEP selesai, serah semua cadangan kepada PM

Mandat CEP selesai, serah semua cadangan kepada PM

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin bercakap pada sidang media Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bertempat di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 20 OGOS 2018.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin bercakap pada sidang media Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bertempat di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 20 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR- Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan menyerahkan kesemua cadangan yang telah dibuat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaik sahaja Perdana Menteri pulang dari lawatan rasmi di China.

Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin berkata, mandat yang diberikan untuk majlis yang dianggotai lima tokoh ternama negara dari pelbagai bidang itu telah tamat semalam dan kini masing-masing boleh meneruskan kehidupan seperti biasa termasuk kembali ke jawatan masing-masing seperti sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Mahathir yang mengatakan tugas CEP masih belum berakhir selepas 100 hari yang diamanahkan kepada mereka, Daim menjawab, beliau perlu bertemu dengan Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

“Setakat yang kami tahu, mandat CEP hanya 100 hari tetapi saya akan memohon pertemuan dengan Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perancangan beliau.

“Buat masa ini, kami anggap tugas kami sudah berakhir dan boleh kembali kepada kehidupan biasa.

“Kepada ahli-ahli yang mempunyai tugas lain, mereka kini boleh kembali kepada organisasi masing-masing. Kami semua adalah pekerja sukarela,” katanya semasa sidang media di Menara Ilham di sini hari ini.

Sidang media itu hanya dihadiri oleh seorang sahaja ahli CEP yang juga Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz manakala Tan Sri Robert Kuok hanya menghantar Tan Sri Oh Siew Nam sebagai wakil.

Selain Zeti dan Robert, CEP turut dianggotai Tan Sri Hassan Merican dan Profesor Jomo Kwame Sundram.

Menurut Daim, sebagaimana beliau mahu kerajaan menerima semua cadangan yang dikemukakan CEP, beliau juga berharap cadangan-cadangan tersebut boleh diakses oleh rakyat.

Bagaimanapun, keputusan mengenai perkara itu terserah kepada kerajaan, katanya.

Tambah beliau, sepanjang 100 hari, CEP telah memanggil lebih 350 individu daripada lebih 200 organisasi termasuk syarikat milik kerajaan (GLC), persatuan perniagaan, artis, agamawan dan pemilik gerai bagi mendapatkan input.

Walaupun cukup berahsia mengenai cadangan-cadangan yang bakal diserahkan kepada kerajaan, Daim menyifatkan ia terlalu banyak tetapi menggariskan tiga perkara utama iaitu reformasi urus tadbir dan institusi, inklusiviti dan reformasi ekonomi dan fiskal.

Katanya, reformasi ekonomi sahaja tidak mampu membawa perubahan sekiranya reformasi institusi tidak dilaksanakan.

Dengan itu, CEP menurut Daim, mencadangkan kepada kerajaan langkah-langkah yang boleh mengukuhkan kebebasan institusi teras di Malaysia dan meningkatkan rangka kerja institusi-institusi berkenaan bagi mengakhiri era rasuah dan salah guna kuasa sekaligus memastikan kes-kes seperti 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Felda dan Tabung Haji tidak akan berulang.

Dalam pada itu, CEP turut memberi cadangan terhadap agenda bumiputera supaya menjadi lebih kompetitif.

“Agenda bumiputera tidak boleh dilihat berasingan kerana ia adalah sebahagian daripada agenda nasional. Ia tidak bertentangan dengan agenda nasional dalam bab inklusiviti dan kemakmuran ekonomi kepada semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai reformasi fiskal fan ekonomi, Daim berkata, keadaan ekonomi negara sangat teruk dan kerajaan memerlukan masa untuk membaikinya semula.

Ketika ditanya, apakah cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh CEP kepada kerajaan mampu memulihkan semua ekonomi Malaysia dalam tempoh dua tahun, Daim berkata, ia bergantung kepada banyak faktor.

“Kita tidak tahu sama ada kerajaan mahu ikut atau tidak tetapi jika mereka ikut sekalipun, banyak perkara yang perlu diambil kira seperti faktor ekonomi luaran dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau optimis kerajaan mampu mengembalikan keyakinan rakyat apabila semakin ramai yang membayar cukai berbanding dahulu sekaligus dapat meningkatkan pendapatan negara. -MalaysiaGazette