Home Politik Orang tanya Inisiatif Peduli Rakyat, bukan janji 100 hari

Orang tanya Inisiatif Peduli Rakyat, bukan janji 100 hari

Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar (kiri) berbual dengan penduduk yang mengidap strok, Mazlan Karim (kanan) ketika melawat Pangsapuri PKNS Sri Lindungan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2018

KELANA JAYA – “Tiada seorang pengundi pun bertanyakan janji 100 hari Pakatan Harapan (PH) sejak hari penamaan calon hingga kini,” kata calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Halimey bagaimanapun berkata, kebanyakan pengundi yang ditemuinya hanya bertanyakan tentang Inisiatif Peduli Rakyat (IPF) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Sejak hari penamaan calon, sampai ke hari ini saya turun kempen tiada seorang pun tanya tentang 100 hari itu, yang lebih orang tanya tentang IPR.

“Saya rasa penduduk Seri Setia atau rakyat Selangor lebih gemar IPR lagi (berbanding janji 100 hari ) dan tiada soalan tentang 100 hari pun kecuali pihak media sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama jentera Bilik Gerakan PH Seri Setia melakukan Ziarah Kasih golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan uzur di PJS 6A, Kampung Lindungan, di sini, hari ini.

MGF20082018_WALKABOUT CALON PH_15
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar (kanan) berbual dengan penduduk yang mengidap sakit tua, Krishnan Alagar (kiri) ketika melawat Pangsapuri PKNS Sri Lindungan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2018

Beliau mengulas tentang 10 Janji PH selepas 100 hari menjadi Kerajaan Persekutuan yang mana hanya 20 peratus tertunai dan ia mungkin menjejaskan kempennya yang kini memasuki hari kedua, hari ini.

Antara 10 Janji 100 PH itu ialah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mengembalikan semula subsidi minyak secara bersasar, skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah, menangguhkan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menyamaratakan gaji minimum.

Manakala lima lagi 10 Janji 100 Hari PH itu ialah siasat institusi terpalit dalam skandal 1MDB, menghapuskan hutang-hutang tidak wajar kepada peneroka Felda, mengkaji semula projek mega kepada negara-negara asing, menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan meningkatkan akses, kualiti perkhidmatan kesihatan.

Halimey berkata, pelaksanaan IPR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia masih belum 100 peratus dapat dinikmati oleh pengundi di kawasan itu khususnya warga emas.

“Mungkin ada 20 peratus lagi yang masih tak tahu, ataupun tidak dapat maklumat, mungkin mereka ini golongan yang berumur 70 tahun ke atas.

“Kita juga cuba mempertingkatkan manfaat ini dari segi Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Perkahwinan RM500 untuk orang bujang, Kad Peduli Sihat.

“Baki 20 peratus ini akan minta wakil kita gerakkan semula borang untuk bantu dan pulang semula ke pejabat DUN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette