KUALA LUMPURĀ – Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, warga peneroka FELDA meletakkan harapan tinggi kepada delegasi Malaysia setiap kali lawatan dilakukan ke China.
Ahmad Shabery berkata, siapa pun yang membawa rundingan kemasukan kelapa sawit ke China, rakyat hanya mahukan kepentingan mereka terbela dan lawatan itu memberi impak kepada FELDA.
“Sebelum ini harapan besar kita ialah China, kerana mereka telah memberi ruang lebih besar kepada kemasukan sawit kita untuk rakyatnya yang besar.
“Ia adalah harapan pengusaha, peneroka felda atau pekebun kecil FELCRA. Bahkan eksport sawit adalah sebahagian dari kekuatan mata wang kita.
“Diplomasi akhirnya untuk kepentingan rakyat kita. Walau siapa pun yang mengendalikan kita mengharapkan mereka berikan yang terbaik untuk rakyat,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.
Ahmad Shabery mengulas lawatan lima hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China ketika ini bersama jemaah kabinetnya untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.
Hasil rundingan itu, Perdana Menteri China, Li Keqiang bersedia untuk meningkatkan jumlah import barangan dari Malaysia termasuk minyak sawit dan barangan pertanian lain.
Penambahan perdagangan itu bagi memenuhi permintaan rakyat di negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu kini mencecah 1.4 bilion orang.
Ahmad Shabery berkata lagi, China satu-satu harapan warga FELDA sebagai pembeli utama minyak sawit Malaysia berbanding India, Turki dan Kesatuan Eropah (EU).
“EU secara terang-terang menganjurkan kempen anti minyak sawit. India pula telah mengenakan cukai lebih tinggi terhadap sawit kita.
“Manakala Turki pula berhadapan krisis mata wangnya, sukar untuk kita bergantung harap tentang kemampuannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette