Home Utama Polis minta bantuan LPTA kesan peranti radioaktif yang hilang

Polis minta bantuan LPTA kesan peranti radioaktif yang hilang

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya kini meningkatkan kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam bagi memeriksa premis yang disyaki menjual arak terbabit.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

KUALA LUMPUR – Polis sedang bekerjasama secara serius dengan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) untuk mengesan seunit projektor ‘sentinel Delta 880’ mengandungi bahan radioaktif yang masih hilang dan belum ditemui.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Mazlan Mansor berkata, kerjasama itu juga dimulakan untuk menangkap suspek-suspek yang terlibat dalam kehilangan peranti radioaktif itu.

Katanya setakat ini tidak wujud sebarang petunjuk yang boleh membawa dan mengaitkan kepada kehilangan peranti tersebut dengan sebarang aktiviti keganasan.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan LPTA untuk mengesan projektor radioaktif yang mengandungi Iridium (Ir-192) activity 50 curies.

“Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kejadian ini secara terus kepada pegawai penyiasat Asisten Komisioner Yong Meng Heng di talian 0195753399 atau mana mana balai polis berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan yang di keluarkan di sini.

Tambah beliau, polis menerima aduan mengenai kehilangan projektor radioaktif itu Pada 10 Ogos lalu jam lebih kurang 10.14 malam, daripada seorang Juruteknik Radiografi sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor.

Ujar beliau, pengadu dan rakan sekerjanya dilaporkan selesai menjalankan tugas pemeriksaan radiografi untuk mengenal pasti kebocoran atau masalah pada kimpalan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Senawang, Negeri Sembilan.

“Pada jam lebih kurang 2 pagi mereka telah bergerak balik ke pejabat di Kota Kemuning, Shah Alam.

“Apabila sampai di destinasi pada jam lebih kurang 3 pagi, mereka mengesan ‘boot’ kenderaan Nissan Navara yang dinaiki telah terbuka dan mendapati peralatan projektor Sentinel Delta 880 telah tiada.

“Pengadu mengesyaki peralatan tersebut telah dicuri. Kertas siasatan dibuka dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kecurian,” ujar beliau.

Susulan laporan itu, tegas beliau, polis membuat tangkapan ke atas pengadu dan rakan sekerjannya sebelum direman mulai 11 Ogos hingga 17 Ogos lalu untuk membantu siasatan dan keterangan dirakam.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada maklumat lanjut diperolehi untuk mengaitkan kedua-duanya dengan kes tersebut sebelum kedua-dua mereka dibebaskan dengan jamin polis pada 17 Ogos lalu.

“Menurut LPTA, bahan radioaktif iaitu Iridium (Ir-192) activity 50 curies yang terkandung dalam projektor tersebut berupaya membawa kesan sinaran kepada manusia bergantung kepada tahap dedahan dos yang diterima dalam keadaan berikut.

“Ia mendakwa, jika seseorang terdedah dengan aktiviti sebanyak 50 ‘Curie’ selama lebih kurang 120 minit pada jarak 1 meter tanpa perisian, individu berkenaan akan menerima dedahan sekitar 500 mSv(milisievert).

“Sekiranya dos yang diterima kurang atau bersamaan dengan 500 msv, kesan awal adalah seperti pening muntah dan loya dan jika melebihi 500msv, kesan deterministik seperti kulit terbakar akan berlaku kepada penerima dos berkenaan,” tegasnya lagi.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pula menegaskan polis masih mencari projektor radioaktif tersebut sambil menyifatkan kejadian seumpama pernah dilaporkan dan telah disiasat polis tahun lalu tetapi masih belum ditemui bahan yang hilang itu.- MalaysiaGazette