KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan mendakwa kerajaan dahulu tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sehingga 31 Mei lalu.
Lim Guan Eng berkata, baki kredit belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berjumlah RM16.046 bilion ini melibatkan sebanyak 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.
Baki tunggakan ini disebabkan kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).
Sedangkan katanya, bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut.
“Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei 2018 hanya RM1.486 bilion berdasarkan
rekod Jabatan Akauntan Negara.
“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar.
“Dengan kata lain, masih wujud kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei 2018 yang menyebabkan 1,653,786 pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik cukai mereka sejak lebih enam tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dakwa Guan Eng, tunggakan besar bayaran balik baki kredit sehingga melebihi enam tahun ini berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDNM.
Malah, tuduh beliau, kekurangan wang sejumlah RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telah pun dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama.
Ini bermakna hasil Kerajaan Persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor.
Guan Eng turut mendakwa apa yang dilakukan oleh kerajaan lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan.
Katanya, bagi meringankan bebanan pembayar cukai, kerajaan bersetuju membenarkan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDNM membuat permohonan set-off sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.
Permohonan set-off ini hendaklah dikemukakan kepada LHDNM untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya.
Di samping itu, bayaran wang akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan. – MalaysiaGazette