Home Politik Jangan curi manifesto PH, kata calon PH di Balakong

Jangan curi manifesto PH, kata calon PH di Balakong

Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki (kiri) dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kanan) sedang bercakap dengan penduduk setempat sempena mini ceramah di Pekan Batu 11, Cheras, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 22 OGOS 2018
Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki (kiri) dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kanan) sedang bercakap dengan penduduk setempat sempena mini ceramah di Pekan Batu 11, Cheras, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 22 OGOS 2018

BANGI – MCA dinasihati supaya lebih kreatif dalam menzahirkan manifesto dan janji menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balakong 8 September ini.

Calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki menegur sikap calon MCA Tan Chee Teong yang didakwa telah mencuri manifesto parti pemerintah yang diumumkan baru baru ini.

“Semalam dia pergi periksa longkang dan mendakwa infrastruktur selain menjanji hapuskan tol jika berjaya dipilih sebagai ADUN Balakong.

“Saya terpanggil untuk membalas dia, MCA tolong kreatif sikit.. jangan curi kita punya manifesto.

“Hapus tol secara berperingkat adalah manifesto PH, jangan tumpang manifesto,ia bukan manifesto MCA. Kami baru tahun ini jadi kerajaan Persekutuan dan sedang menguruskan masalah infrastruktur,” katanya kepada pemberita di sini.

Bekas Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya yang berusia 32 tahun itu juga menjelaskan, kini PH mempunyai ahli Majlis berpengalaman 10 tahun serta menteri kabinet yang boleh bekerja dan peka masalah rakyat.

“Cuma untuk keberkesanan dalam memperjuangkan isu rakyat kita perlukan wakil di Balakong maka undilah saya.

“Kemenangan PH di Balakong akan melincinkan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri Selangor untuk membawa pembaharuan di kawasan tersebut.

“Maklumbalas pengundi di Balakong semakin positif setiap hari terhadap PH dan ini petunjuk terbaik walaupun masih merisaukan peratusan yang akan keluar mengundi pada 8 September ini. – MalaysiaGazette