Home Politik PKR kata Pas pun tidak berapa gemar MCA

PKR kata Pas pun tidak berapa gemar MCA

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menunjukkan kebolehannya memotong daging lembu pada Majlis Korban Perdana 2018 anjuran Tahfiz al-Madrasatul Faridiyah dan Surau At-Taqwa di PPR Kg. Baru Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2018
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menunjukkan kebolehannya memotong daging lembu pada Majlis Korban Perdana 2018 anjuran Tahfiz al-Madrasatul Faridiyah dan Surau At-Taqwa di PPR Kg. Baru Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – PKR berpendirian pengundi peringkat akar umbi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dan Seri Setia masih belum dapat menerima kerjasama rapat antara Pas dan Barisan Nasional.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, biarpun kerjasama itu nampak sangat ketara namun pada pandangan PKR, ahli Pas masih sukar untuk menerima UMNO mahupun MCA sebagai rakan sekutu.

“Saya rasa orang Pas pun tidak berapa gemar dengan MCA, diperingkat bawah kerjasama itu masih sukar diterima walaupun di Seri Setia.

“Antara UMNO dan Pas masih belum nampak serasi di peringkat akar umbi,” katanya pada satu majlis serahan daging korban di Setapak hari ini.

Nik Nazmi mengulas mengenai kenyataan calon PRK Balakong, Wong Siew Ki yang tidak tergugat dengan keterbukaan Pas dalam menyokong calon MCA, Tan Chee Keong di kawasan itu.

Semalam Siew Ki berkata beliau tidak tergugat dengan sokongan Pas terhadap MCA di kawasan itu.

“Saya tidak risau sangat mengenai sokongan Pas terhadap MCA, sebab kerjasama ini bukan dibuat pada hari pertama kempen.

“Saya rasa pengundi Balakong bijak untuk menentukan siapa yang mereka akan sokong,” kata Siew Ki.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata PKR yakin dalam mengekalkan kerusi Seri Setia memandang kepada sentimen penyokong Pas di kawasan itu.

“(DUN) Seri Setia kawasan lama saya, memang ada sebahagian daripada mereka masih bersama Pas. Tetapi sebahagian daripada mereka mengundi PH.

“Jadi secara keseluruhan kita yakin dapat kekal di kerusi tersebut. Semestinya kita kena kerja kuat dan tidak boleh ambil mudah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette