Home Nasional Batal ERCL ‘hukuman’ rakyat Pantai Timur kerana tak undi PH?

Batal ERCL ‘hukuman’ rakyat Pantai Timur kerana tak undi PH?

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pembatalan projek mega Landasan Kereta Api Pantai Tmur (ECRL) ke Pahang, Terengganu dan Kelantan sebenarnya bukan sahaja disifatkan satu kerugian besar sebaliknya merupakan ‘hukuman’ kerana tidak mengundi kerajaan Pakatan Rakyat (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa, ketiga-tiga negeri itu dikatakan tidak menyokong kerajaan PH sebaliknya mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jelas beliau, ketika ini tiga negeri itu, Pahang di kuasai oleh BN manakala Terengganu dan Kelantan pula dipimpin oleh kerajaan Pas sekaligus menimbulkan persoalan seandainya ini adalah kerana ‘dendam’ sehingga menyebabkan penduduk menjadi mangsa.

“Saya harap tindakan membatalkan projek ECRL ini bukan kerana agenda tertentu termasuk dendam terhadap penduduk Pantai Timur kerana tidak mengundi mereka sebaliknya dikuasai oleh pembangkang ketika ini.

“Kita perlu ingat dan sedia maklum, dengan pembatalan ECRL ini, peluang untuk merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat akan terjejas. Peluang pembangunan bandar-bandar kecil sekaligus melahirkan usahawan serta menambahkan ruang pekerjaab kepada belia juga akan terjejas teruk.

“Harapan penduduk untuk mendapatkan pengangkutan awam hanya sekadar angan-angan dan mimpi sahaja selepas ini. Pembangunan di Pantai Timur sebenarnya jauh ketinggalan berbanding Pantai Barat selama ini sehingga inisiatif ECRL ini dilaksanakan,” katanya.

ecrl
Projek ECRL sepanjang 688 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Tambah Ismail Sabri, walaupun alasan kerajaan PH kos tinggi dan memerlukan kajian menyeluruh namun untuk membatalkan terus ketika perbincangan masih lagi sedang berjalan sebenarnya agak ‘keterlaluan’.

“Janganlah hukum rakyat Pantai Timur hanya kerana berbeza ideologi serta fahaman politik berbeza dengan anda, fikir sedikit tentang kepentingan rakyat pada masa yang sama juga,” tegasnya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengulas keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) ketika melakukan lawatan kerja di Beijing beberapa hari lepas.

Tun Mahathir berkata, hasrat itu juga telah disampaikan secara terus kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Berikutan pembatalan projek ECRL yang sepatutnya siap tahun 2024, Mahathir berkata, rundingan akan dilakukan pada peringkat pegawai untuk mencari jalan keluar daripada projek berkenaan pada kos paling rendah. – MalaysiaGazette