KUALA LUMPUR – Haram hukumnya jika penyembelih dan pelapah daging korban mengambil bahagian haiwan tanpa kebenaran, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Menurut beliau, sering berlaku pada waktu ibadat korban terdapat bahagian-bahagian haiwan korban diambil oleh individu yang menjadi pelapah dan penyembelih.
“Antara dosa yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban. Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.
“Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan.
“Jika seekor lembu yang dibahagikan tujuh, maka ketika pembahagian tersebut bahagian-bahagian tertentu telah pun dicuri terlebih dahulu namun perbuatan mengambil daging korban tanpa terlebih dahulu diberikan oleh empunya, merupakan perbuatan yang haram
“Hendaklah diingatkan bahawa mereka seperti mana orang lain, hanya boleh perolehinya jika diberikan oleh tuan empunya korban dengan hati yang redha, bukan dengan mereka pandai-pandai mengambilnya,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Selain itu, Mohd. Asri turut mengingatkan pelapah dan penyembelih haiwan korban agar tidak menerima daging sebagai upah kerana ia akan merosakkan konsep korban dilakukan.
Namun beliau menegaskan, upah boleh diberikan dalam bentuk wang.
“Mereka wajib tahu bahawa tidak boleh untuk mereka mengambil daging korban atas dasar upah kerja mereka. Mereka hanya boleh menerima upah berbentuk wang atau apa sahaja selain bahagian korban yang mereka terlibat.
“Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dan pelapah dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette