KUALA LUMPUR – Walaupun Datuk Aliff Syukri Kamarzaman telah meminta maaf secara terbuka kerana memuat naik klip video tarian yang dianggap lucah semasa mempromosi lagu baru Bobo Di Mana, usahawan kosmetik terus menerima kecaman.
Terbaru, vokalis kumpulan Search, Amy yang berpendapat Aliff Syukri sepatutnya ada cara lain namun sengaja memilih kaedah tersebut supaya orang bercakap mengenainya.
Jelas Amy, lebih menyedihkan, video itu dipromosi ketika umat Islam di seluruh dunia berdoa sempena jemaah haji yang melakukan wukuf di Padang Arafah.
“Maaf Dato sedangkan umat Islam seluruh memanjatkan doa tapi Dato memanjatkan video promo berunsur lucah sambil ketawa melekek-lekek tengok orang tu lambung tetek.
“Amat tidak sopan,” kata Amy meninggalkan komennya di bawah hantaran permohonan maaf Aliff Syukri di laman Instagram usahawan itu.
Sebelum ini, Aliff Syukri dikecam netizen termasuk ibunya, Rozita Ibrahim dan selebriti, Wardina gara-gara memuatnaik tarian untuk lagu terbaharunya, Semalam Bobo Dimana yang dianggap tidak menghormati sambutan Aidiladha, Rabu ini.
Lagu Semalam Bobo Dimana merupakan nyanyian penyanyi dangdut kontroversi Indonesia yang didakwa transgender, Lucinta Luna yang berkolaborasi dengan Aliff Syukri dan seorang lagi usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.
Video berdurasi 34 saat yang dimuatnaik di Instagram Aliff Syukri dua hari lalu memaparkan, usahawan kosmetik itu bersama dengan Lucinta dan Sajat menyanyi sambil menari mengikut rentak lagu dangdut tersebut.
Namun tarian itu agak keterlaluan apabila Lucinta dan Sajat tampil berpakaian seksi sambil menggoyangkan buah dada mereka. – MalaysiaGazette