SERI KEMBANGAN – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bagi Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki berkata, sasaran 80 peratus keluar mengundi di kawasan itu adalah satu cabaran baginya.
Wanita berusia 32 tahun itu terpaksa bekerja keras bagi memastikan peratus itu dicapai kerana partinya sudah meletakkan syarat beliau perlu memenangi majoriti yang lebih tinggi daripada sebelum ini.
“PRK Balakong ini lebih baik kalau ada 80 peratus yang turun pengundi tetapi kita kena tengok sebab PRK ramai yang fikir tidak akan berlaku apa-apa sebab kerajaan sudah tukar. Mungkin akan kurang peratus mengundi.
“Kita buat banyak walkabout untuk bersemuka dengan pengundi dan beritahu mereka untuk keluar undi. Jadi, mereka akan lebih berminat untuk keluar mengundi,” katanya dalam siri lawatan ke Pusat Perindustrian Selesa Jaya hari ini.
Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, parti itu mengharapkan agar pengundi memberikan majoriti besar kepada PH sebagaimana yang diterjemahkan pada PRU-14 Mei lalu.
Siew Ki turut ditanya sama ada sasaran itu dibuat disebabkan oleh sikap selesa rakyat Balakong terhadap keputusan PRU-14 lalu, jawab beliau, ia jelas merupakan satu cabaran bagi memastikan majoriti yang diterimanya pada 8 September nanti setara dengan yang diterima DAP pada 9 Mei lalu.
“Buat masa ini saya tidak risau, ini cabaran buat saya,” katanya.
Dalam pada itu, Siew Ki sudah bertemu dengan lebih 30 peratus pengundi Cina di kawasan itu dan akan meneruskan kempen hari ke enam hari ini dengan turun ke kawasan perindustrian di Balakong.
“Sekarang hampir 30 peratus pengundi kami sudah jumpa tapi banyak kawasan masih belum kami pergi, terutama kawasan tumpuan kaum Cina. Malah sekarang masih Hari Raya Aidil Adha, jadi kita tunggu sampai habis baru kita pergi ke kawasan lain,” katanya.- MalaysiaGazette