Home Utama Selangor kena ada akta tangani isu sistem perparitan

Selangor kena ada akta tangani isu sistem perparitan

Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong menunjukkan sampah-sarap antara punca masalah tertinggi kes denggi yang dihadapi oleh penduduk di Taman Seri Cheras, Selangor. foto MIRZA HASIM, 23 OGOS 2018
Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong menunjukkan sampah-sarap antara punca masalah tertinggi kes denggi yang dihadapi oleh penduduk di Taman Seri Cheras, Selangor. foto MIRZA HASIM, 23 OGOS 2018

BANGI – Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong berjanji akan mendesak kerajaan Selangor mewartakan akta efektif menguruskan sistem perparitan dan masalah sampah.

Katanya, satu akta yang tegas penting dalam membolehkan isu denggi yang serius di negeri itu ditangani dengan berkesan selepas bertahun lama menjadi juara kes denggi tertinggi di Malaysia.

“Kalau tanya saya, tugas utama ialah nak semak dan imbang akta penuh efektif untuk menyelesaikan masalah pengurusan sistem perparitan dan sampah yang merupakan salah satu sebab peningkatan kes denggi.

“Tak kira kita nak saman atau sistem perparitan distruktur semula tapi dana bagi menguruskan kesemua inisitif ini perlu dipertingkatkan.

“Kerajaan Selangor tidak sepatutnya menyimpan rizab wang yang ada. Gunakan rizab simpanan itu untuk tangani masalah rakyat jangan gunakan ia untuk mempromosikan propaganda sahaja,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bidas Chee Teong, kerajaan negeri tidak ada gunanya mendabik dada dan menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan itu paling kaya tetapi gagal menangani permasalahan serius yang dihadapi saban hari oleh golongan marhaen.

“Sistem perparitan yang teruk dan sampah tak terurus mengeruhkan lagi masalah denggi, sila turun padang dan selesaikan..jangan sekadar tengok gambar sahaja,” tegasnya lagi.

Dalam isu demam denggi, katanya, kawasan DUN Balakong dipinggirkan kerajaan negeri selama ini.

“Walaupun kerja kecil tapi ia gagal ditangani pentadbiran negeri dan jika lihat sehingga 17 Jun lalu, saya difahamkan lebih 15, 944 kes denggi dilaporkan.

“Malah kes denggi di negeri ini sahaja sudah mencecah lebih 55 peratus dan sebagai pembangkang konstruktif saya nak pastikan kerajaan negeri membuka mata dan ambil langkah efisien dalam soal kesihatan.

“Takkan tunggu sampai ramai maut baru nak faham dan ambil langkah selesaikan kes denggi. Jangan menyerang dengan agenda politik sahaja, kita perlu bekerjasama dalam isu yang melibatkan kepentingan rakyat bersama,” tegas beliau.

Selain itu, Chee Teong berjanji akan membawa agenda penghapusan tol akan menjadi agenda utama jika kerajaan negeri gagal menurunkan harganya atau memansuhkannya.

“Dalam manifesto dia (Pakatan Harapan) kata mansuh tapi beri alasan bahawa tidak boleh dilaksanakan janji itu. Kalau tidak boleh memansuhkan tol sekurang-kurangnya tolong turunkan harga tol.

“Negeri Selangor juga mempunyai kepentingan dalam syarikat konsesi tol yang beroperasi di negeri itu. Saya akan memastikan isu tol dibangkitkan dalam Sidang DUN jika diberi mandat dan dihapuskan sepenuhnya,” katanya.

“Penduduk sudah pasrah dengan adanya hampir tujuh tol yang perlu dilalui untuk ke KL, Kajang dan Semenyih. Ini saya sangat risaukan dan menjadi tugas saya jika diberi mandat untuk menitikberatkan segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette