Home Nasional Batal ECRL, beri perhatian kebajikan pekerja tempatan – Syefura

Batal ECRL, beri perhatian kebajikan pekerja tempatan – Syefura

Syefura Othman
Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Syefura Othman meggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi perhatian khusus kepada kebajikan pekerja tempatan yang terkesan dengan pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Wakil rakyat dari DAP itu berkata, antara kebajikan yang perlu diberi perhatian ialah pampasan kewangan yang sewajarnya, selain bantuan mendapatkan pekerjaan baharu kepada mereka.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan projek itu dan ia bukan suatu yang mengejutkan kerana PH memang berjanji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menyemak semula projek mega melibatkan berbilion dana kerajaan dan pinjaman antarabangsa.

“Berikutan pembatalan projek itu, kerajaan perlu memberi perhatian kepada kebajikan pekerja tempatan yang kehilangan sumber pendapatan dan turut mengambil langkah mitigasi terhadap kawasan pembinaan yang bakal ditinggalkan.

“Walaupun tidak dapat dinafikan projek ECRL dapat memberi kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi kawasan Bentong, tindakan pembatalan disokong berdasarkan kos projek yang terlampau tinggi dan beban kewangan semasa kerajaan yang tinggi,” katanya yang dipetik kenyataan beliau menerusi Roketkini.com, hari ini.

Menurut Syefura, kerajaan perlu sedar pembatalan projek itu telah memberi kesan kepada hampir 2,000 pekerja yang hilang sumber pendapatan dan amat dikesali apabila dianggarkan lebih 1,000 daripadanya adalah anak tempatan Bentong.

Ujarnya, kerja pembinaan di kawasan Genting dan Bentong pula dikatakan telah mencapai kemajuan antara 13 dan 14 peratus setakat ini.

“Terdapat kawasan hutan yang sudah ditebang, tanah yang sudah diterangkan dan bukit yang sudah dikorek untuk pembinaan rel dan terowong. Jika tapak pembinaan ini ditinggalkan begitu sahaja sejurus pemberhentian projek, ia akan membawa kesan yang buruk kepada alam sekitar dan boleh mengakibatkan bencana alam pada masa hadapan.

“Kerajaan perlu memastikan kontraktor atau mana-mana pihak berwajib melakukan langkah mitigasi dan pemulihan terhadap tapak pembinaan yang akan ditinggalkan dengan secepat mungkin.

“Ini kerana tapak pembinaan yang ada sekarang berada di kawasan kritikal bagi alam semulajadi kawasan Bentong dan dikhuatiri berlaku bencana terutama ketika fasa monsun Pantai Timur yang akan tiba kelak,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan agar peka, bahawa selepas pembatalan dan pemberhentian projek pembinaan yang besar seperti ECRL, ada juga langkah penting yang perlu dilakukan terutama yang melibatkan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar. – MalaysiaGazette