KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan komposer terkenal, Datuk M. Nasir semalam.
Menerusi laman Facebook bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pertemuan dilaporkan berlangsung di pejabat beliau di Bukit Gasing selama sejam.
“Lagu beliau berjudul ‘Bila Rumi Menari’ yang berirama rancak dan sarat dengan mesej cinta dan falsafah itu ternyata memberi kesan yang mendalam pada AI.
“M. Nasir juga turut ditemani nama besar lain S. Amin Shahab. Semoga mereka terus kreatif berkarya dan terus mewarnai industri muzik tanah air,” tulis Anwar di Facebooknya itu.
M. Nasir cukup disegani malah diberi julukan sifu di kalangan penggiat seni merupakan seniman yang memiliki pelbagai bakat besar dalam industri hiburan tempatan.
Selain komposer, beliau juga merupakan seorang penyanyi, pelakon, penerbit album, pengarah serta pelukis berbakat.
Sepanjang penglibatannya dalam industri, M. Nasir telah melahirkan ramai bintang terkenal sama ada secara berkumpulan atau solo seperti Search, Wings, Alleycats, Ella, Ziana Zain, Hattan, Spider dan Mawi.
M. Nasir pernah mencipta kontroversi berikutan mengeluarkan satu kenyataan yang dibuat sekitar tahun 1996.
Soalan ‘Siapa Mahathir’ yang diucap anak kelahiran Singapura itu membawa padah apabila beiiau digam oleh stesen televisyen dan radio tempatan.
Bagaimanapun, M. Nasir selepas itu dikenali sebagai seorang seniman yang mengambil sikap dan pendirian menjauhi isu-isu politik tanah air. – MalaysiaGazette