Home Nasional Lima lelaki didakwa kerana cederakan seorang transgender

Lima lelaki didakwa kerana cederakan seorang transgender

Gambar hiasan

SEREMBAN – Lima lelaki termasuk tiga pelajar bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang transgender.

Syaari Aziz, 37;  Muhammad Haiqal Mohammad Aris, 19 dan tiga remaja yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim G Ramesh.

Mereka didakwa bersama tiga yang masih bebas, dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada mangsa dengan menggunakan senjata sebatang kayu dan paip plastik PVC.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 12.15 tengah malam, 15 Ogos lalu di tepi Jalan A. S Tambaiyah 3 dekat sini menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan 3 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Peguam Shahrulazwad Ismail mewakili Syaari manakala Zaidi Abdul Hamid mewakili Muhammad Haiqal serta dua remaja terbabit dan seorang lagi remaja diwakili A. Partheeban.

— BERNAMA