KUALA LUMPUR – Malaysia perlu membayar sekurang-kurangnya RM3.5 juta untuk membawa pesawat Bombardier Global 5000 milik Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia.
Pesawat mewah itu telah disita oleh pihak berkuasa Singapura sejak Februari tahun lalu kini diletakkan di Lapangan Terbang Seletar.
“Bagaimanapun, sebelum pesawat dibenarkan diterbangkan ke Malaysia, Lapangan Terbang Seletar meminta caj parkir diselesaikan terlebih dahulu,” sumber.
Caj letak pesawat selama 18 bulan telah meningkat kepada kira-kira RM3 juta, lapor The Star dan Asia News Network.
Difahamkan Lapangan Terbang Seletar telah menuntut caj itu kepada pihak berkuasa Singapura selepas Malaysia berminat untuk mengambil pesawat berkenaan.
Lapangan Terbang Seletar diuruskan oleh Changi Airport Group, khusus untuk pesawat persendirian.
Namun, Changi Airport Group enggan mengulas.
“Mengambil kira privasi pelanggan, kami tidak akan berkongsi maklumat,” kata jurucakap itu kepada The Star.
Sumber itu berkata, Kerajaan Malaysia perlu membayar caj itu sebelum pesawat berkenaan dibenarkan meninggalkan lapangan terbang tersebut.
Difahamkan rundingan mengenai caj letak kereta telah diadakan di antara pihak berkuasa Malaysia dan Singapura serta pengendali lapangan terbang.
Tetapi setakat ini, sumber itu berkata, setakat ini belum ada keputusan muktamad dicapai.
“Kerajaan Malaysia juga perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM500,000 lagi untuk kerja-kerja penyelenggaraan pesawat yang telah lama terbiar,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata, pesawat yang tersadai sejak Februari tahun lalu sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan perkhidmatan untuk memastikan ia mendapat kelayakan untuk diterbangkan ke Malaysia.
“Kerja penyelenggaraan di kilang lapangan terbang hampir selesai,” kata sumber itu.
Straits Times pada 14 Ogos lalu berkata, Singapura tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pesawat itu ke Malaysia.
Pesawat Bombardier itu dijangka akan dibawa ke Lapangan Terbang Subang, juga dikhususkan untuk pesawat persendirian.
Kapal terbang itu disenaraikan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai antara salah satu aset yang dibeli dengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MBD).
Bombardier Global 5000, dibangunkan pada tahun 2008 dengan kos AS$35.4 juta telah dibeli pada akhir tahun 2009, kurang daripada tiga bulan wang sejumlah AS$700 juta dibawa keluar daripada 1MDB.
Pendaftaran pesawat itu di bawah nombor N689WM/MSN 9265, didaftarkan kepada sebuah syarikat bernama Wynton Aviation dan diletakkan sebagai kepercayaan Wells Fargo Bank.
Wynton Aviation adalah syarikat yang didaftarkan di British Virgin Isles pada tahun 2009.
DoJ mendakwa Wells Fargo adalah syarikat induk yang dimiliki oleh Jho Low.
Difahamkan sebelum kapal terbang itu dirampas, pesawat itu berada di Lapangan Terbang Teterboro di New Jersey, berhampiran dengan rumah Jho Low.
Laman web Airliners.net menunjukkan pesawat berkenaan telah terbang ke Paris, Geneva, Beijing dan London, antara tahun 2009 dan 2017. – MalaysiaGazette