Home Nasional Tiada caj terhutang kepada Lapangan Terbang Seletar

Tiada caj terhutang kepada Lapangan Terbang Seletar

Pesawat Bombardier Global 5000 milik Jho Low yang tersadai di Lapangan Terbang Singapura. foto Agensi
Pesawat Bombardier Global 5000 milik Jho Low yang tersadai di Lapangan Terbang Singapura. foto Agensi

SINGAPURA – Tiada caj perlu dijelaskan kepada Lapangan Terbang Seletar terhadap pesawat peribadi yang didakwa milik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low yang diletakkan di lapangan terbang tersebut sejak tahun lalu, menurut Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG).

“Jet peribadi yang dipersoalkan itu diletakkan di hangar syarikat persendirian di Lapangan Terbang Seletar. Tiada caj yang dikenakan kepada Lapangan Terbang Seletar,” kata jurucakap CAG dalam jawapan e-mel kepada Bernama hari ini.

CAG diminta memberi respons kepada laporan media bahawa Lapangan Terbang Seletar telah meminta pembayaran caj tempat letak pesawat dijelaskan terlebih dahulu sebelum jet jenis Bombardier Global 500 berharga US$30 juta (RM122.5 juta) itu dibenarkan dibawa ke Malaysia.

CAG merupakan pengendali Lapangan Terbang Seletar.

Laporan dalam akhbar Malaysia, memetik sumber, berkata Lapangan Terbang Seletar telah menyatakan jumlah bayaran tersebut kepada pihak berkuasa Singapura susulan hasrat  kerajaan Malaysia untuk memiliki pesawat itu.

Jet perbadi didakwa milik Jho Low itu dibeli menggunakan wang daripada syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan akhbar itu menyebut Malaysia perlu mengeluarkan kos sekurang-kurangnya RM3.5 juta untuk membawa balik jet peribadi itu yang disita oleh pihak berkuasa Singapura pada tahun lalu.

Dilaporkan bahawa pesawat itu adalah sebahagian daripada aset bernilai US$1 bilion yang didakwa diperoleh dengan penyelewengan dana 1MDB.

— BERNAMA

Malaysia kena bayar RM3.5j untuk caj letak pesawat Jho Low