Home Nasional 3 ATM pengiring Hishammuddin, Mat Sabu arah siasat

3 ATM pengiring Hishammuddin, Mat Sabu arah siasat

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR –  Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengarahkan kementeriannya menyiasat serta merta dakwaan tiga anggota khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  sehingga kini masih menjadi pengiring rapat kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya jika didapati kesalahan dalam amalan menggunakan pengiring dari kalangan ATM oleh Hishammuddin walaupun tidak lagi memegang portfolio kementerian itu sejak Mei lalu.

“Saya mengambil maklum laporan sebuah portal berhubung tiga anggota khas Angkatan Tentera Malaysia yang didakwa sehingga kini masih menjadi pengiring rapat kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan siasatan segera dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap amalan dan peraturan sedia ada,”katanya menerusi kenyataan media di laman Facebook.

Terdahulu portal MalaysiaKini melaporkan bahawa sumber ATM memaklumkan tiga anggota khas sehingga kini masih menjadi pegawai pengiring kepada Hishammuddin.

Dikatakan dua pegawai tersebut adalah anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), masing-masing berumur 37 tahun dan 41 tahun dengan tahun akhir khidmat pada 2020 dan 2021.

Pegawai pengiring ketiga pula adalah seorang komando, dakwa sumber lagi.-MalaysiaGazette