KUALA LUMPUR – Kemenangan DAP sudah hampir pasti apatah lagi peratusan sokongan rata-rata penduduk terhadap calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong mencecah sehingga hampir 80 peratus.
Perkara itu diakui sendiri oleh calon MCA, Tan Chee Teong yang dengan jujur mengatakan dirinya hanya mampu meraih sokongan kurang daripada 20 peratus.
Bagaimanapun, kerana semangat ‘kental’ untuk memastikan DAP tidak hanya sekadar berjanji bulan dan bintang, beliau tidak akan sesekali berundur.
Jelas Chee Teong yang juga merupakan anak tempatan, dengan menggunakan cogankata ‘semak dan imbang’, kehadiran beliau bukan sekadar ‘boneka’ sebaliknya mahu memastikan kebajikan rakyat di Balakong terjaga serta terbela.
“Terus terang saya katakan, kemenangan serta sokongan terhadap saya sebenarnya hanya 20 peratus. Tipis itu adalah satu kebenaran, saya tidak mahu bercakap kosong atau retorik semata-mata. DAP mempunyai sokongan lebih kuat. Mereka mempunyai hampir 80 peratus.
“Mereka juga adalah kerajaan Pusat yang sedang menerajui negara. Kekuataan mereka memang lebih. Tapi pada masa yang sama, mengapa saya bertanding? Balakong adalah tempat jati saya, malah MCA pernah tempat ini dulu.
“Kita juga amat arif dengan kehendak dan keperluan masyarakat di sini. Sekurang-kurangnya kehadiran saya sebagai pembangkang yang ‘kuat’ boleh menggerunkan pihak lawan. Saya dengan perjuangan ‘semak dan imbang’ akan berperanan untuk memastikan segala macam janji dalam manifesto itu tertunai.
“Sekurang-kurangnya itu adalah untuk rakyat. Jika saya menang, baguslah. Suara saya akan didengari dengan lebih gah lagi. Jika tidak, juga tidak mengapa kerana apa yang diutamakan ketika ini adalah satu, kepentingan dan kebajikan rakyat. Itu sahaja.
“Kita akan pastikan DAP buat apa yang dijanjikan, buat yang terbaik. Kalau sebelum ini mereka membangkang, kini kerajaan dalam tangan mereka. Pelbagai perkara yang dahulunya mereka perjuangkan kononnya kerajaan terdahulu mengabaikan kebajikan rakyat kini sudah tentu mereka boleh laksanakan. Kita akan pastikan itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kampung Baru Kwan Tung, Balakong dekat sini hari ini.
Tambah Chee Teong yang sudah beristeri dan mempunyai tiga anak selain berkelulusan diploma dari Help Institute, beliau tidak mempunyai sasaran atau harapan yang tinggi dalam PRK ini tetapi apa yang dilakukan adalah demi dan untuk rakyat.
“Cukuplah, masa untuk lakukan pelbagai jenis janji dan serta retorik sudah berlalu. PRU-14 juga sudah berlalu. Kini adalah masa untuk memastikan segala janji itu tertunai,” tegasnya.
Kerusi DUN Balakong kosong berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, 20 Julai lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Tien Chee yang bertanding menggunakan logo PKR, menang majoriti 35,538 undi selepas menewaskan calon PAS Mohamad Ibrahim Ghazali dan Lim Chin Wah (BN).
Kali ini PAS tidak akan bertanding dalam PRK DUN Balakong kerana menumpukan usaha bagi memenangi kerusi DUN Seri Setia.
Terdahulu, Chee Teong bersama Wanita MCA Kebangsaan mengambil inisiatif mengagihkan lebih 1,000 bunga mawar merah kepada golongan wanita di dua pasar pagi utama sempena Hari Wanita Sedunia baru-baru.
Jelas Chee Teong, rata-rata wanita itu melahirkan rasa terharu dengan usaha tersebut bagi menghargai kaum Hawa di kawasan itu. – Malaysia Gazette