Home Nasional Hapus BR1M: Mengapa hukum orang miskin?

Hapus BR1M: Mengapa hukum orang miskin?

Bekas Perdana  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan polis berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini. 
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad yang lupa dengan janji manifesto apabila mahu mengurang dan menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau bimbang langkah itu akan menyebabkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin meningkat semula.

“Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin? Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum,” soal bekas Perdana Menteri itu menerusi Facebook beliau.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang mahu mengurang dan menghapuskan BR1M (yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup).

Najib kesal dengan kenyataan Dr Mahathir yang masih mendakwa bahawa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan untuk “membeli” rakyat.

Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan wang BR1M bukan dari sumber yang dicuri tetapi hasil daripada langkah rasionalasasi subsidi dan GST.

“BR1M bukan untuk tujuan politik dan kriteria menerimanya hanya berdasarkan kepada pendapatan bulanan isi keluarga – tidak kira mereka menyokong parti politik mana.

“Orang yang kaya lebih banyak mendapat faedah dari subsidi pukal manakala kutipan GST lebih banyak dari SST kerana orang kaya yang bayar lebih banyak GST kerana perbelanjaan mereka lebih dan lebih penting, GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi “gelap”,” katanya.

Menurut Najib, wang ini dikembalikan kepada golongan B40 sebagai BR1M dan bayaran itu terus meningkat kerana kutipan GST bertambah berikutan peningkatan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Bila orang susah dapat duit, duit tu dibelanjakan semula dalam kitaran ekonomi terutama di kawasan luar bandar.

“Dengan ini, jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin boleh dirapatkan,” ujar beliau.

Buktinya, kata Najib, nisbah GINI yang semakin menurun sehingga terendah di bawah 0.40 untuk pertama sekali dalam sejarah pada tahun 2016.

Najib mempersoalkan di mana salahnya kalau kerajaan mengambil wang daripada golongan kaya dan yang lari cukai untuk membayar kepada golongan miskin.

Menurut Najib, tindakan kerajaan sekarang nampaknya hanya mementingkan golongan kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai daripada mahu menaikkan gaji dan membantu golongan yang miskin. – MalaysiaGazette