Home Sukan Jurang dengan Jepun semakin kecil – Kim Swee

Jurang dengan Jepun semakin kecil – Kim Swee

Datuk Ong Kim Swee tetap memuji aksi anak buahnya walaupun tewas tipis 0-1 kepada Jepun pada saingan 16 terakhir di Sukan Asia 2018 malam tadi.

BEKASI, INDONESIA – Pengendali skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui Jepun adalah pasukan yang lebih baik pada aksi peringkat 16 pasukan terbaik Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang berlangsung di Stadium Patriot Chandra di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukannya hanya tidak bernasib baik selepas menampilkan disiplin tinggi ketika bertahan untuk menyerap segala serangan ‘Samurai Biru’ selain berpeluang mencemaskan gawang gol lawan menerusi beberapa gerakan menarik.

” Sebelum perlawanan, kami tahu Jepun adalah pasukan yang kuat dan memiliki banyak pilihan untuk melakukan serangan. Corak permainan mereka berbeza semasa menentang Vietnam berbanding dengan Malaysia.

” Kami dihukum kerana gagal melakukan penyudah dan malang tidak dapat bertahan sehingga waktu tambahan,” katanya memetik laporan Bernama pada sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.

Jepun menang tipis ke atas Malaysia 1-0 dalam perlawanan penuh dramatik yang menyaksikan sepakan penalti pemain gantian, Ayase Ueda pada minit ke-88 menjadi pemusnah impian negara untuk mara ke peringakat suku akhir.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata hanya sedikit perbezaan memisahkan antara anak buahnya dengan skuad kendalian ketua jurulatih, Hajime Moriyasu.

“Mereka lebih hebat tetapi kami tetap memberi saingan sengit dan akhirnya tahap kami tidak begitu jauh dalam perlawanan peringkat umur. Kita perlu berusaha lebih gigih,” katanya.

Terdahulu, Malaysia mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan E selepas meraih dua kemenangan termasuk mengejutkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua kumpulan sebelum tewas 2-3 kepada Bahrain dalam perlawanan terakhir. – MalaysiaGazette