PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah bersiap sedia dengan pelan penguatkuasaan sempena pelaksanaan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 1 September ini.
Menterinya, Datuk Saifudin Nasution Ismail berkata, pelan penguatkuasaan itu bagi memastikan peniaga mengekalkan dengan etika perniagaan yang baik, bukan cuba untuk menaikkan harga bagi tujuan mengaut keuntungan sehingga membebankan penggguna.
Katanya, strategi pelan itu telahpun dibentangkan kepadanya dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa agar kepentingan pengguna terjaga.
“Saya telah pun menerima data dari Jabatan Perangkaan yang memberikan bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat pada Julai lalu.
“Kita sedia maklum bahawa Jun, Julai dan Ogos kita tidak mengenakan sebarang cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada barang-barang dan apabila IHP ini meningkat, kita tahu peningkatan itu disumbangkan oleh kos pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis Nurturing Entrepreneurial Women (Nawem) di Paradigm Mall, dekat sini, hari ini.
Saifudin Nasution menjelaskan, kementeriannya akan terus meneliti komponen kos makanan terhadap peningkatan harga pengguna kerana dalam tempoh tiga bulan itu sepatutnya menyaksikan penurunan harga berikutan tidak dikenakan cukai sehingga 1 September ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, kenaikan harga dalam tempoh sifar GST adalah disebabkan kos pengangkutan.
“Saya selalu ulangi ada enam bidang atau kluster yang menyumbang kepada peningkatan kos hidup, iaitu perumahan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan makanan.
“Indeks harga pengguna ini biasanya mengambil bacaan daripada enam bidang ini dan setiap pengilang akan tahu yang menyumbang indeks harga pengguna itu dari segmen yang mana,” katanya. – MalaysiaGazette