Home Utama Mansuh BR1M: Dr Mahathir teruskan pendirian kapitalisme – Shahril Hamdan

Mansuh BR1M: Dr Mahathir teruskan pendirian kapitalisme – Shahril Hamdan

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan bercakap pada Program IDEAS -LSEASM ‘Status reformasi institusi selepas 00 hari' di Ballroom, Royal Selangor Club, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2018
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan bercakap pada Program IDEAS -LSEASM ‘Status reformasi institusi selepas 00 hari' di Ballroom, Royal Selangor Club, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengurangkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum menghentikan sepenuhnya menunjukkan beliau seorang yang tidak konsisten di dalam polisinya.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, memang Dr. Mahathir sebelum ini jelas tidak selesa dengan BR1M bagaimanapun mengambil pendekatan menyokongnya pemberian tersebut sebelum pilihan raya yang lalu.

“Kini apabila beliau sudah menang, beliau mahu menarik semula pemberian tersebut.

“Percakapan beliau tidak konsisten dan menipu rakyat.

“BR1M atau sebarang pemberian kepada rakyat yang tidak berkemampuan bukan sesuatu yang salah, tiada yang salah dari segi ekonominya malah pemberian tunai seperti itu dilakukan oleh negara-negara lain juga tetapi Dr. Mahathir tetap dengan pendirian kapitalisme dan kerangka ekonomi era 80-an beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi salah seorang panelis dalam forum “Status Reformasi Institusi dalam 100 hari” anjuran alumni London Schools of Economics and Political Studies di sini hari ini.

Menurut Shahril, kerajaan tidak boleh membiarkan golongan yang tidak berkemampuan berterusan menderita selepas BR1M ditarik balik.

“Dr. Mahathir mungkin berpendapat, seseorang itu tidak layak mendapat duit jika mereka tidak bekerja sedangkan kita tahu ada kelemahan dalam sistem ekonomi tidak kira sama ada di Malaysia malah di dunia sekalipun.

“Ada yang sudah bekerja keras tetapi pendapatan mereka masih tidak mencukupi dan kadang-kala ada yang tidak rajin tetapi mempunyai pendapatan yang lebih tinggi. BR1M membantu golongan lemah ini untuk mengurangkan kesusahan mereka,” katanya lagi.

Shahril mengharapkan kerajaan menggantikan BR1M dengan bantuan lain yang lebih baik untuk membantu golongan berpendapat rendah. -MalaysiaGazette