KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki menempelek MCA yang mendakwa kononnya pihak beliau mendalangi tindakan merosakan bahan kempen.
Menurut Siew Ki dari DAP, tanpa bukti kukuh dan jelas MCA tidak sepatutnya melakukan serangan seumpama itu yang jelas memberikan impak negatif kepada pihaknya.
“Saya amat menghormati calon MCA, Tan Chee Teong yang sangat bersopan santun dan juga dihormati di kawasan ini.
“Tetapi pasa masa yang sama saya sangat kecewa kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau seolah-olah menuding jari kepada kita walhal kita juga menghormati proses demokrasi, pilihan raya secara telus dan adil.
“Ini adalah dakwaan yang terang lagi bersuluh sekadar cakap-cakap tanpa bukti kukuh. Malah saya juga difahamkan ketika kenyataan itu dkeluarkan tidak ada sebarang bukti dilampirkan siapakah sebenarnya dalang dalam insiden itu.
“Saya bertanding atas proses keadilan, ketelusan dan semangat demokrasi yang tinggi. Saya bercakap mengikut apa yang terkandung dalam manifesto saya kepada rakyat. Itu adalah asas pertandingan yang dimainkan oleh saya, bukan seperti yang di dakwa.
“Sebenar-benarnya, saya amat kecewa dengan tuduhan liar sebegini tanpa asas dan bukti kukuh,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, dalam sidang media berasingan sejam sebelum itu, Chee Teong memberi ‘amaran’ keras kepada ‘mana-mana’ pihak yang bertindak samseng dengan merosakan bahan kempen PRK Balakong milik MCA.
Jelas Chee Teong, lebih 100 bahan kempen seperti bendera dan poster diturunkan oleh ‘pihak’ tertentu dalam cubaan melakukan sabotaj kepada MCA malam tadi.
DAP juga merancang untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara bagi siasatan lanjut selain daripada laporan polis dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Siew Ki turut melahirkan rasa hairan dengan ‘kempen’ MCA yang dilihat sengaja membawa isu-isu seperti pokok tumbang dan longkang tersumbat ketika ini.
“Saya tidak pasti adakah beliau (Chee Teong) faham apakah peranan seorang Adun apabila isu-isu yang dibangkitkan olehnya boleh diselesaikan oleh Majlis Perbandaran? Ada banyak lagi perkara penting yang kita perlu perjuangkan untuk rakyat.
“Tolong faham peranan anda dan henti kelirukan masyarakat setempat dengan isu-isu seperti ini,” tegasnya. – Malaysia Gazette