Home Ekonomi Pasaran hadapan emas diramal menurun

Pasaran hadapan emas diramal menurun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka dalam trend menurun minggu depan berikutan permintaan yang lebih lemah.

Peniaga berkata, permintaan untuk emas dilihat semakin berkurang walaupun dari India, yang merupakan satu daripada pengguna emas terbesar.

“Pasaran melihat harga emas terlalu tinggi sekarang dan peniaga sedang menunggu harganya jatuh sebelum bertindak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, peserta pasaran akan memantau hasil perjumpaan pegawai bank pusat global pada persidangan Jackson Hole, Wyoming di mana Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell dijadual memberi ucapan.

Menurutnya, peniaga akan mencari petunjuk mengenai arah kadar faedah kerana kadar faedah yang lebih tinggi akan menekan harga emas ke bawah.

Pada asas Jumaat keJumaat, Ogos 2018 meningkat 24 mata kepada RM157.30 segram, September 2018 menambah 27 mata kepada RM157.55 segram, Oktober 2018 menokok 32 mata kepada RM157.90 segram dan November 2018 menambah 25 mata kepada RM158.25 segram.

Jumlah dagangan mingguan bagi minggu yang dipendekkan oleh cuti jatuh kepada enam lot bernilai RM94,430 daripada 27 lot bernilai RM425,340 yang dicatat pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka merosot kepada 43 kontrak daripada 50 kontrak. – MalaysiaGazette