Home Politik Rakyat kecewa Kerajaan PH gagal tunai janji

Rakyat kecewa Kerajaan PH gagal tunai janji

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berucap pada Ceramah 'Kenapa Kena Tolak PH' bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Dewan UMNO, Flat Desaria Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.

PETALING JAYA – Rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia perlu memberi kemenangan kepada calon Pas, Dr Halimah Ali pada pilihan raya kecil 8 September ini.

Presiden NGO Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ini sebagai isyarat jelas rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa setiap janji yang dikemukakan perlu ditunaikan, bukan memberi pelbagai alasan.

Beliau berkata, rakyat jangan mengharapkan kerajaan PH akan menunaikan semua 60 janji yang dikemukakan dalam Manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu akan ditunaikan, kalau 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pun gagal.

“Ramai bertanya apa perlu kita (Pas) berlawan di sini (DUN Seri Setia), kita kalah (majoriti) 19,000 undi (pada PRU14). Kalau campur undi Pas dan (undi) UMNO pun tidak boleh menang?

“Saya kata ia sangat bermakna kerana hari ini kita dalam keadaan negara ini bukan lagi diperintah oleh Barisan Nasional (BN), tetapi oleh PH yang hendak menang pilihan raya telah mengemukakan 60 janji dan meletakkan 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama dan ternyata mereka gagal.

“Tapi apa isyaratnya rakyat nak bagitahu bahawa mereka ini (PH) telah gagal dan kita kecewa dengan kerajaan hari ini? Tak ada cara lain, rakyat di DUN Seri Setia harus menjadi wakil kepada rakyat seluruh negara memberi isyarat yang jelas kepada PH, bahawa kita kecewa kerana kamu gagal untuk menunaikan 10 janji ini dan kami tidak mengharapkan kamu akan menunaikan 50 janji yang lain itu, sekiranya kita tidak memberikan isyarat jelas dengan menolak PH pada 8 September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah “Kenapa Kena Tolak PH” di Bilik Gerakan UPU PJS 5/13, dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, calon Pas, Dr Halimah Ali, kepimpinan Pas Kawasan Petaling Jaya dan Kelana Jaya serta kepimpinan tiga peringkat UMNO Bahagian Petaling Jaya dan UMNO Bahagian Kelana Jaya.

Lokman Adam yang juga merupakan bekas calon BN bagi PRK DUN Sungai Kandis, 4 Ogos lalu berkata, PRK DUN Seri Setia bukan calang-calang pilihan raya kecil atau untuk memilih seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semata-mata.

“Kita tahu kalau Dr Halimah menang pun dia akan menjadi pembangkang. Kalau dia kalah pun tidak memberi kesan apa-apa, tetapi sekiranya rakyat memberikan undi kepada (calon) PH, bermakna kita telah mengecewakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette