KUALA LUMPUR – Hasrat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya dalam masa terdekat merupakan berita yang amat menyedihkan dan suatu langkah yang mengundur.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ini kerana BR1M terbukti bukan setakat menolong golongan berpendapatan rendah semata-mata tetapi ia lebih daripada itu sebagai satu program penyusunan semula ekonomi makro Malaysia yang lebih berorientasikan subsidi.
Jelas Ahli Parlimen Parit Sulong itu, BR1M diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan mereka akan berbelanja untuk keperluan sendiri dan pada masa sama membantu menggerakkan ekonomi negara.
“Dalam konteks BR1M, peningkatan perbelanjaan oleh golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) setelah menerima bantuan tunai itu telah memberi suntikan berganda kepada ekonomi domestik.
“Pemberian bantuan tunai kepada rakyat ini yang terbukti keberkesanannya dalam meningkatkan penggunaan domestik turut diakui oleh sekumpulan tokoh ekonomi Britain pada 2016.
“Laporan The Guardian pada tahun berkenaan (2016) memetik 35 pakar ekonomi Britain termasuk Lord Robert Skidelsky dan Herman Daly yang mahu bank pusat negara itu melaksanakan pemberian bantuan tunai bagi mengatasi kelembapan ekonomi berbanding melaksanakan pemotongan kadar faedah” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noraini menambah, atas sebab itu, kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus mengekalkan BR1M kerana kaedah itu bukan sahaja membantu merangsang ekonomi tetapi juga berjaya membantu golongan yang sepatutnya menerusi subsidi bersasar.
Malah kata beliau, mereka yang terlibat dalam bidang perdagangan runcit seperti pemilik kedai runcit akan menerima manfaatnya kerana kebanyakan penerima akan membelanjakan wang bantuan ke arah tersebut.
Ini sekali gus akan meningkatkan permintaan barang dan perkhidmatan, seterusnya memberi implikasi kepada penyedia barangan tersebut.
“Pada suatu ketika ada yang membandingkan BR1M dengan zakat, walhal zakat hanya membantu orang muslim sahaja tetapi bagaimana dengan rakan-rakan kita daripada kalangan bukan muslim?
“Ia sepatutnya mengambil masa yang lebih lama untuk melihat hasil impak BR1M kepada rakyat tetapi malangnya kerajaan BN tumbang di peringkat awal pelaksanaan BR1M.
“Sehubungan itu, Wanita UMNO berharap kerajaan PH menarik balik keputusannya untuk menamatkan BR1M yang diberi nama baharunya, Bantuan Sara Hidup (BSH) apabila PH berkuasa pada 9 Mei lalu,” katanya.
Noraini turut menasihati penerima BR1M yang dikenali kini BSH, menggunakanlah baki bantuan itu yang tinggal sebaik-baiknya.
“Jangan dibelanjakan ke atas barangan yang tidak perlu.
“Kalau boleh, belanjakan ke atas barang makanan untuk keluarga kerana mengikut kajian, sebahagian besar pendapatan golongan B40 dibelanjakan untuk makanan dan harga barangan makanan berkemungkinan naik lagi selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikuatkuasakan 1 September ini,” katanya. – MalaysiaGazette