Home Nasional Hakim kes liwat saya boleh tidur lena – Anwar Ibrahim

Hakim kes liwat saya boleh tidur lena – Anwar Ibrahim

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pelancaran Buku Anwar Return The Final Twist di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pelancaran Buku Anwar Return The Final Twist di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Hakim yang terlibat menjatuhkan hukuman atas dua dakwaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kini boleh tidur dengan lena.

Ini kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak berminat untuk mengambil tindakan terhadap hakim-hakim yang membuat keputusan beliau bersalah atas tuduhan liwat ke atas pembantunya.

“Walaupun pihak saya tidak berminat untuk mengambil tindakan kepada hakim yang terlibat namun semua bentuk ketidakadilan yang berlaku dalam sistem kehakiman sebelum ini mesti diperbetulkan.

“Saya tidak bermaksud untuk ambil tindakan terhadap hakim yang lalu, mereka boleh tidur lena sekarang. Tetapi kezaliman dan ketidakadilan mesti diperbetulkan,” katanya kepada pihak media selepas menghadiri majlis pelancaran bukunya bertajuk Anwar Returns: The Final Twist” di sini hari ini.

Buku tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar diminta mengulas kenyataan bekas peguamnya, S N Nair agar satu siasatan dibuat terhadap keputusan hakim ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu selepas keputusan Yang di-PerTuan Agong membenarkan pengampunan penuh kerana hukuman yang dibuat pihak hakim pada waktu itu wujud “ketidakadilan”.

SN Nair berkata, hakim membuat keputusan pada waktu itu tidak melaksanakan keadilan yang sebenar mengikut undang-undang dan gagal mendukung sumpah kehakiman.

Ditanya tuntutan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah untuk mendakwa beliau dalam kes liwat keduanya, Anwar berkata, pihak peguamnya sedang membuat permohonan itu supaya ia dipercepat.

“Saya harap mahkamah tidak akan menangguhkan lagi kes ini. Kami akan mengemukakan rayuan selepas keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini,” katanya yang akan disahkan sebagai Presiden PKR yang baharu pada bulan depan.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan Anwar terhadap kerajaan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam Shafee untuk mendakwa bekas pemimpin pembangkang itu dalam kes liwat 2.0. – MalaysiaGazette