Home Politik Halimey sasar 20 peratus anak muda keluar mengundi

Halimey sasar 20 peratus anak muda keluar mengundi

Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH) N.32 DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Bilik Gerakan Utama Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018

KELANA JAYA – Pakatan Harapan (PH) mensasarkan sehingga 20 peratus jumlah anak muda keluar mengundi pada hari pembuangan undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, 8 September ini.

Calon PH, Halimey Abu Bakar berkata, pelbagai insentif dan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang memberi manfaat besar kepada anak muda sebelum ini diharapkan dapat mendorong mereka untuk keluar mengundi kali ini.

“Sasaran kita pengundi anak muda akan keluar mengundi 10 hingga 20 peratus daripada 32 peratus keseluruhan pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia,” katanya pada sidang media hariannya, di Bilik Gerakan PH DUN Seri Setia, di sini, hari ini.

Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH) N.32 Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Bilik Gerakan Utama Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018

PRK Seri Setia bakal memberi cabaran kepada PH untuk menarik pengundi khususnya golongan muda keluar mengundi pada 8 September ini memandangkan PRK Sg Kandis pada pada 4 Ogos lalu mencatatkan jumlah keluar mengundi di bawah 50 peratus.

Halimey juga berkata, beliau tidak menolak pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk memastikan pengundi muda yang majoriti menghuni kawsan Desa Mentari dan Lembah Subang keluar mengundi kali ini.

“Sudah tentu (pengundi muda ramai) di kawasan Lembah Subang dan Desa Mentari sebab kawasan-kawasan ini berhampiran dengan kawasan industri

“Anak-anak muda ini kebanyakan mereka ini berasal dari kawasan DUN Seri Setia, dibesarkan di sini dan mereka tak mahu keluar.

“Di situlah mereka mencari rezeki dan tinggal dan ada juga yang masih tinggal dengan ibu bapa mereka yang menetap di DUN Seri Setia,” katanya.

Ditanya tentang keperluan anak muda di kawasan itu, Halimey berkata, selain kemudahan riadah, golongan itu juga mahu peluang untuk mengembangkan perniagaan untuk menambah pendapatan.

“Mereka minta saya bantu mereka juga sebab kata mereka sampai bila kami nak berniaga di tepi jalan.

“Kami nak lebih ke hadapan, jadi peluang-peluang atau pandangan ini akan saya kumpul dan saya akan bawa Insya-Allah untuk kita perluaskan lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette