Home Sukan Sukan Asia: Skuasy tambah pingat emas hari ini

Sukan Asia: Skuasy tambah pingat emas hari ini

Nicol David
Nicol David

JAKARTA – Satu lagi pingat emas dan pingat perak pasti menjadi milik Malaysia menerusi skuasy individu selepas Datuk Nicol David dan S. Sivasangari akan beraksi di final Sukan Asia 2018, hari ini.

Ratu skuasy negara, Nicol seperti sukar digugat untuk meraih pingat emas keempatnya berturut-turut pada temasya kedua terbesar dunia itu selepas menundukkan Dipika Pallikal Khartik 11-7, 11-9, 11-6 pada aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Gelora Bung Karno semalam.

Dalam satu lagi aksi, pemain remaja negara, Sivasangari juga menampilkan aksi cemerlang dalam penampilan pertamanya di temasya itu dengan menundukkan C. Joshana dari India 12-10, 11-6, 9-11, 11-7 untuk memastikan aksi final menjadi milik Malaysia.

Sementara itu, Mohd. Nafiizwan Adnan menyumbangkan gangsa untuk kontinjen negara selepas kalah 11-5, 11-6, 5-11, 5-11, 9-11 kepada Max Lee dari Hong Kong di separuh akhir individu lelaki.

Setakat ini, kontinjen negara hanya mengumpul satu emas iaitu menerusi skuad trio boling wanita namun hari ini sudah pasti akan mendapat emas kedua tetapi siapa atlet yang bakal merangkulnya akan ditentukan oleh Nicol dan Sivasangari selepas mereka menewaskan lawan masing-masing dalam separuh akhir semalam.

Dalam edisi empat tahun lalu di Incheon, skuasy menyumbang dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa, menjadikannya antara pasukan paling konsisten menyumbang pingat kepada kontinjen negara. – MalaysiaGazette