KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Seri Umie Aida dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesukaran untuk bernafas selepas makan buah cempedak.
Umie, 45, berkata, dia bernasib baik ketika itu kerana suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berada di rumah dan terus membawanya ke hospital.
“Tak sampai seulas me (saya) makan cempedak. Boleh kena serang angin sampai ke ulu hati. SubhanaAllah… Sakitnya sampai tak boleh bernafas.
“Kebetulan suami balik nak makan tengah hari, terus hantar me pergi hospital,” tulis Umie menerusi laman Instagram miliknya.
Umie turut memuat naik video dia didukung oleh suaminya turun dari tangga dan mendapat lebih 230,000 tontonan.
Bagaimanapun, masalah yang dialami pelakon filem Dukunn itu hilang sebaik sahaja doktor membuat pemeriksaan dan mahu memberikan suntikan.
Jelas Umie, kejadian itu merupakan kali kedua berlaku selepas di Pulau Pinang pada 2002.
“Yang peliknya sampai hospital, doktor periksa dan jururawat baru nak bagi suntikan, sakit me terus hilang. Me cakap tak perlu suntikan doktor.
“Saya dah sihat. Sakit ni pernah terjadi kat Penang pada tahun 2002. Sakit beria-ria. Sampai hospital terus baik. Angin kus kus kot,” katanya.
Sementara itu, Umie memberitahu dia sudah pulih dan pulang ke rumah sejurus selesai bertemu doktor kelmarin
“Apa-apa pun, alhamdulillah… Dah sihat… Dah balik rumah. Sumpah tak nak makan cempedak lagi! Bye cempedak bye!!!
“Terima kasih mendoakan kesihatan saya,” katanya. Rata-rata pengikutnya di laman sosial turut berkongsi pengalaman yang sama seperti dilaluinya itu. – MalaysiaGazette