Home Utama Harga gula turun 10 sen

Harga gula turun 10 sen

Harga kawalan gula turun 10 sen bermula 1 September ini menjadikan harga baharu gula pasir kasar RM2.85/kg dan RM2.95/kg bagi gula pasir halus.
Harga kawalan gula turun 10 sen bermula 1 September ini menjadikan harga baharu gula pasir kasar RM2.85/kg dan RM2.95/kg bagi gula pasir halus.

PUTRAJAYA – Harga kawalan gula turun 10 sen bermula 1 September ini menjadikan harga baharu gula pasir kasar RM2.85/kg dan RM2.95/kg bagi gula pasir halus berikutan ‘trend’ menuruun harga gula mentah di pasaran dunia.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, selain harga pasaran dunia, kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan (PH) juga amat prihatin dengan kedudukan rakyat terutamanya ketika peningkatan kos sara hidup.

Jelas beliau, gula adalah antara barang yang dikawal bekalan malah harganya diletakkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi serta dijual pada nilai terkawal.

“Ketika ini, harga setiap kilogram gula pasir kasar dijual dengan nilai RM2.95 manakala gula pasir halus pula RM3.05. Pada 1 September ini, harga akan diturunkan sebanyak 10 sen.

“Antara sebab mengapa langkah ini diambil dengan cepat bukan hanya kerana harga pasaran dunia semakin menurun sebaliknya ini juga merupakan inisiatif kita kerana amat prihatin dengan bebanan dan tanggungan oleh rakyat.

“Selepas ini, kita amat berharap dengan turunnya harga gula ini akan dapat mengurangkan jangkaan kesan berangkai (multiplying effect) ke atas harga makanan dan minuman dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan KPDNHEP di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga mengingatkan peniaga supaya penjualan melebihi atau di bawah harga kawalan yang ditetapkan adalah tidak dibenar sama sekali melainkan dengan kebenaran bertulis daripada pihak berwajib.

“Tidak dibenarkan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada KPDNHEP bagi mengelakkan herotan pasaran serta tidak mahu pengguna rasa tertipu kerana tiada bekalan di premis terlibat akibat jualan laris selain bekalan tidak mencukupi,” ujarnya.

Saifuddin berkata, penurunan harga gula tidak sesekali bermakna kerajaan menyokong pengambilan gula berlebihan dalam kehidupan seharian mereka.

“Perlu diingat, kerajaan pada masa yang sama juga sentiasa prihatin dengan kesihatan rakyat dan ingin mengingatkan semua penggunaan gula berlebihan akan mengundang pelbagai penyakit berbahaya.

“Pelbagai penyakit kronik termasuk kencing manis, sakit jantung, obesiti dan sebagainya. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa peka dan prihatin selain daripada berterusan memberikan kesedaran setiap masa.

“Gaya hidup serta cara pengambilan gula harian dalam kehidupan perlu berubah bagi memastikan setiap daripada kita mempunyai gaya kehidupan yang lebih sihat. Ambil gula dalam kadar munasabah dan bukan sebaliknya,” tegas beliau.

Pada 2016, seramai 3.6 juta atau 17.5 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetis dan bilangannya dijangka meningkat jika tiada langkah pencegahan. – Malaysia

  • MalaysiaGazette