PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Dr Mazlee Malik berharap agar Bahasa Melayu bukan sahaja setanding dengan Bahasa Inggeris bahkan terkenal di dunia.
Beliau berkata program-program pemerkasaan bahasa kebangsaan Malaysia sepatutnya diperluas agar masyarakat luar mengenali bahasa Melayu.
“Saya harap bukan hanya ada Program Pemerkasaan Bahasa Inggeris, tetapi juga akan ada Program Pemerkasaan Bahasa Melayu,” katanya ketika berucap di majlis penutup Program Mobiliti Pemerkasaan Bahasa English bersama Pelajar Turki (English Immersion Mobility Programme with Turkish Students).
Mengulas lanjut beliau berharap hasratnya itu akan menjadi realiti, sinonim dengan program Dekat Bahasa Kebangsaan yang pernah dicadangkannya sebelum ini.
“Akan datang kita akan menggalakkan untuk Bahasa Melayu demi mencapai kita punya program Dekad Bahasa Kebangsaan,” tambahnya.
Mazlee sebelum ini berkata, program Dekad Bahasa Kebangsaan akan dilancarkan dan bakal mengandungi pelan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pilihan utama di tanah air, di kalangan penutur bahasa Melayu di rantau Asean, dan juga menjadi bahasa popular di persada dunia. – MalaysiaGazette