Home Nasional Pegawai Maritim berpangkat leftenan komander ditahan rasuah

Pegawai Maritim berpangkat leftenan komander ditahan rasuah

Bekas pegawai khas itu disiasat kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan projek panel tenaga solar di Sarawak.
Posting di Facebook dan kicauan Twitter berkenaan mendakwa SPRM menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Maritim Malaysia (Maritim) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Pegawai berpangkat leftenan komander itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan rasuah serta pengubahan wang haram.

SPRM dalam kenyataannya berkata, pegawai berusia 37 tahun itu ditahan di Pasir Puteh, Kelantan kira-kira pukul 11.20 pagi.

Menurut sumber, suspek yang bertugas sebagai pegawai pemerintah di sebuah kapal Maritim Malaysia itu dipercayai telah menerima wang rasuah berjumlah antara RM4,000 hingga RM9,000 daripada tauke-tauke kapal.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan terlarang itu daripada tahun 2016 hingga tahun 2017.

Kata sumber itu lagi, wang tersebut ialah sebagai balasan bagi melepaskan bot-bot nelayan asing yang ditahan oleh Maritim Malaysia kerana kesalahan menceroboh perairan negara.

“Wang tersebut telah dimasukkan ke akaun bank milik individu lain selain turut dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil daripada kegiatan rasuah tersebut,” kata sumber SPRM itu.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan telah mengesahkan mengenai tangkapan pegawai kanan itu di sini.

“Permohonan reman akan dilakukan ke atas suspek di Mahkamah Majistret Kemaman, esok.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA 2001),” tegas beliau.- MalaysiaGazette