Home Nasional JKM catat 199 kes dera kanak-kanak

JKM catat 199 kes dera kanak-kanak

Hannah Yeoh

KUALA LUMPURĀ – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 199 kes pengabaian, penderaan dan kecuaian melibatkan kanak-kanak dalam jagaan pengasuh bagi tempoh Januari hingga Mei lalu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, lapan daripada jumlah kes terbabit berlaku di Pulau Pinang.

“Berdasarkan rekod JKM, bagi tempoh Januari hingga Mei 2018, sebanyak 199 kes (abai/dera/cuai) yang melibatkan kanak-kanak dalam jagaan pengasuh teah dilaporkan di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah ini, sebanyak lapan kes berlaku di Pulau Pinang,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Isa Ab Hamid, Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Senator Rahemah Idris dan Senator Sopiah Sharif meminta menyatakan usaha kementerian menangani kes penderaan dan kecuaian di pusat asuhan kanak-kanak.

Hannah berkata, sehingga Jun 2018, terdapat sebanyak 4,302 Taska disediakan di premis dan jabatan kerajaan.

“Taska Institusi sebanyak 3,242 buah, taska di tempat kerja sektor awam sebanyak 206 buah, taska di tempat kerja sektor swasta sebanyak 52 buah, taska komuniti sebanyak 39 buah dan taska di rumah sebanyak 763.

“Buat masa ini, pendaftaran perlu dibuat atas pengasuh yang menjaga lebih empat orang kanak-kanak.

“Manakala tiada penyeliaan dilakukan ke atas pengasuh yang mengasuh kurang daripada empat orang kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette