KUALA LUMPUR – Selepas merekodkan prestasi buruk dalam pengambilan pekerjaan atas talian, negara kembali berada pada sentimen positif.
Dalam tempoh suku ke suku tahun, Malaysia merekodkan pertumbuhan dalam beberapa industri, terutamanya dalam sektor teknologi dengan 20 peratus kenaikan berbanding awal tahun ini.
Laporan Trend Pengambilan Atas Talian pada suku kedua oleh Monster.com menunjukkan aktiviti pengambilan pekerja di Malaysia telah meningkat 5.0 peratus pada tempoh itu dengan sektor minyak dan gas merekodkan prestasi kukuh dalam kalangan semua industri pada bulan April, Mei dan Jun.
Manakala sektor runcit masih merekodkan prestasi lemah.
Menurut laporan tersebut, selepas prestasi sangat lemah pada suku pertama yang menyaksikan penyusutan 7.0 peratus berbanding suku akhir 2017, sektor pengiklanan, penyelidikan pasaran, perhubungan awam, media dan hiburan menyaksikan momentum menaik dengan 7 peratus pada suku kedua tahun ini.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, permintaan pengambilan atas talian bagi sektor sumber manusia dan pentadbiran menyaksikan prestasi lemah, masing-masing susut sebanyak 3.0 peratus dan 8.0 peratus pada bulan April, Mei dan Jun.
Bagaimanapun, sama seperti industri lain di Malaysia, suku kedua menunjukkan sedikit peningkatan dalam permintaan untuk bakat sebanyak 3.0 peratus.
Selepas mengalami prestasi yang lemah pada awal tahun 2018, suku kedua kelihatan lebih optimistik untuk sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI) yang naik sebanyak 3.0 peratus.
Meskipun begitu, prestasi suku kedua masih lemah berbanding tahun lepas apabila masing-masing merosot sebanyak 19 peratus, 30 peratus dan 20 peratus. – MalaysiaGazette