KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penipuan pakej pelancongan, Dulcet Travel & Tours Sdn. Bhd.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, Rosemary Anak Ginam telah ditahan pada 18 Julai lalu kerana penglibatannya sebagai pengarah syarikat tersebut.
Menurut Amar, sejak awal Mac lalu polis telah menerima laporan daripada 136 orang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan membabitkan kerugian RM2,249.317.
“Rosemary adalah individu yang menandatangani akaun bank yang dimasukkan oleh mangsa untuk membuat bayaran dan individu yang dikesan mengeluarkan wang dari akaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ini.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa penahanan seorang wanita selama 42 hari tanpa dikenakan dakwaan.
Katanya, polis menahan wanita itu bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas kesemua laporan polis yang dibuat oleh mangsa. – MalaysiaGazette