PETALING JAYA – Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Selangor sejak 10 tahun lalu dilihat lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia kerana ia menawarkan lebih banyak kelebihan kepada golongan sasar khasnya kaum wanita kurang berkemampuan.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar, isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan di negeri itu menerima pembelaan menerusi IPR.
Bagi kawasan Seri Setia, kira-kira 30 peratus pengundi wanita iaitu sekitar 8,000 orang telah menerima bantuan itu, katanya pada sidang media harian di bilik gerakan utama PH, di sini hari ini.
Selain IPR, Selangor juga mempunyai program bantuan dikenali Penggerak Wanita Berdaya (PWB) dan Institut Wanita Berdaya (IWB) yang diwujudkan untuk merangka polisi dan strategi pembangunan wanita secara holistik bagi meningkatkan status sosioekonomi wanita di negeri itu.
“Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pula, saya memberi jaminan apa yang baik yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini akan saya salur dan praktik demi membantu golongan wanita,” katanya.
Sementara itu, Halimey berkata keutamaan diberi terhadap kebajikan golongan wanita terutamanya ibu tunggal, mangsa keganasan rumah tangga dan golongan berpendapatan rendah.
“Keadilan dan Pakatan Harapan komited untuk menghargai sumbangan golongan wanita,” katanya.- BERNAMA