KUALA LUMPUR – Siasatan audit forensik yang dilakukan oleh FGV Holdings Berhad ke atas enam transaksi dan keputusan pelaburan yang dibuat sebelum ini telah mendedahkan kumpulan itu kepada kerugian kewangan yang signifikan.
Daripada enam transaksi itu, empat telah selesai siasatan.
Ia termasuk transaksi berjumlah RM628 membabitkan pembelian Asia Plantation Ltd (APL) pada tahun 2014 dan pelaburan FGV Cambridge Nanosystems Ltd. dan pembelian kondominium mewah The Trioka.
“Siasatan yang dibuat telah mendedahkan kesan buruk,” kata FGV dalam kenyataan di sini.
Selain daripada enam transaksi itu, FGV berkata, Lembaga Pengarah syarikat perladangan tersebut juga telah melakukan siasatan dalaman ke atas enam perkara lain yang diletakkan di bawah tiga kategori.
Yang pertama adalah berkaitan dengan kredit terbuka, amalan perdagangan pembelian yang lemah dan jualan minyak sawit yang teruk hingga mengakibatkan hutang lapuk sekitar RM100 juta.
Kategori kedua berkaitan dengan perolehan langsung kontrak perolehan, yang disifatkan melanggar amalan korporat yang terbaik dan kategori ketiga pula membabitkan kekurangan buruh antara Mei 2016 dan April 2018, menyebabkan kerugian kewangan melebihi RM170 juta.
“Lembaga sedang mengkaji semua hasil siasatan yang disebutkan di atas dan telah meminta nasihat undang-undang mengenai kemungkinan remedi atau ganti rugi yang timbul berikutan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan sambil memberitahu pengumuman selanjutnya akan dibuat.
FGV berkata, ia telah menubuhkan Pejabat Transformasi (TO) pada April 2018 untuk menilai prestasi syarikat.
Tambahnya, TO sedang dalam proses memuktamadkan audit dalam operasi ladang dan kilang serta pemprosesan hiliran.
Laporan akhir dijangka dikemukakan kepada Lembaga Pengarah FGV dalam beberapa minggu akan datang.
“Penemuan awal mendedahkan isu-isu serius pada pelbagai peringkat dalam organisasi, dari disiplin kerja yang teruk, ketidakcekapan operasi hingga kebocoran yang perlu ditangani segera,” tambahnya.
FGV juga memaklumkan telah mewujudkan Jawatankuasa Lembaga Khas tiga anggota (SBC) pada 5 Julai lalu yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid dan dua pengarah lain, Datuk Dr Salmiah Ahmad dan Dr Nazeeb Alithambi.
SBC diwujudkan berikutan banyak kekurangan operasi dan ketidakupayaan pengurusan untuk menawarkan penjelasan, penyelesaian atau pelan strategik untuk syarikat.
FGV berkata, SBC ditugaskan untuk empat mandat: memantau prestasi dengan rapat, terlibat secara langsung dengan Presiden Kumpulan dan Ketua Eksekutif secara kerap mengenai kemajuan bidang-bidang utama, menentukan tahap langkah-langkah yang diambil dan dirancang, untuk mencapai keputusan penting dan membuat cadangan sedemikian serta memberi arahan kepada pihak pengurusan yang mana sesuai.
Tidak lama selepas penubuhannya, SBC telah mengenal pasti lima cadangan utama segera, yang sebahagiannya termasuk mengkaji semula keseluruhan fungsi perolehan kumpulan oleh Jawatankuasa Tender Lembaga yang diketuai oleh Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Kementerian Kewangan.
FGV berkata, SBC telah diberi kuasa untuk melantik individu utama kepada beberapa fungsi pengurusan kritikal, memulihkan integriti operasi dan memastikan pelaksanaan amalan pengurusan terbaik di semua unit perniagaan kumpulan.
Cadangan SBC itu telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah dalam satu mesyuarat pada 28 Ogos 2018.
Tambah FGV, Lembaga Pengarah syarikat komited untuk melaksanakan beberapa langkah, termasuk pendedahan telus dan tepat pada masanya penemuan, dan mengkaji semula perniagaan bukan teras kumpulan dengan tujuan untuk membuka kunci nilai dan mengalihkan sumber ke arah perniagaan teras
FGV berkata, Lembaga Pengarah juga akan mengumumkan pada masa yang akan datang tentang pelan pemulihan operasi yang merupakan pusat prestasi, memberi tumpuan kepada keuntungan dan pulangan dengan pencapaian yang jelas dan boleh diukur.
“Pada pandangan Lembaga Pengarah, dengan Pasukan Pengurusan Prestasi yang berpusat, FGV dapat mengekstrak lebih banyak nilai daripada asetnya.
“Kini, terdapat beberapa kebocoran yang perlu ditangani dan proses penambahbaikan, yang apabila diterapkan akan membawa kepada penambahbaikan segera,” kata Azhar. – MalaysiaGazette