BALAKONG – Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berpuas hati dengan penerimaan penduduk terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Balakong, Wong Siew Ki.
“Saya berasa gembira melihat sambutan meriah masyarakat terhadap Siew Ki, ia merupakan petanda baik PH mampu mempertahankan kerusi DUN Balakong,” katanya.
Kok Wai berkata, masyarakat khususnya pengundi telah menunjukkan keyakinan terhadap calon mewakili DAP itu.
“Siew Ki telah membuktikan beliau merupakan calon yang terbaik dan bakal wakil rakyat yang mampu menggalas tanggungjawab, Beliau dapat menepati hasrat dan harapan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Siew Ki juga dilihat mampu meraih kemenangan dengan majoriti besar pada PRK 8 September nanti.
“Saya yakin Siew mampu menang dengan majoriti besar pada PRK nanti,” katanya pada sidang media selepas melawat peniaga dan pengunjung pasar di Taman Delima hari ini.
Sementara itu, Siew Ki pula memaklumkan beliau bersama jentera PH menerima sambutan baik daripada masyarakat sepanjang tempoh berkempen.
“Masyarakat berasa gembira ketika kami turun padang berjumpa dengan mereka, ada juga sebahagian penduduk telah mula panggil saya YB, saya menganggap ia sebagai doa masyarakat yang mahu saya menjadi wakil rakyat,” ujarnya.
Kerusi Dun itu kosong selepas penyandangnya Eddie Ng Tien Chee daripada DAP maut dalam kemalangan pada awal pagi 20 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan PRK Balakong diadakan serentak dengan PRK Dun Seri Setia iaitu pada 8 September ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 18 Ogos dan hari mengundi awal pada 4 September.
Pada PRU 14, mendiang menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi. – MalaysiaGazette