KUALA LUMPUR – Prestasi perniagaan pada suku tahun ketiga tahun 2018 dijangka tumbuh dengan kadar lebih perlahan dengan petunjuk keyakinan 6.0 peratus berbanding 7.8 pada suku tahun kedua tahun 2018.
Ini menandakan bilangan responden yang optimis terus melebihi pesimis namun perbezaan peratusan adalah lebih kecil dari suku tahun sebelumnya, menurut Ketua Jabatan Perangkaan, Datuk Mohd. Uzir Mahidin.
Responden di sektor perkhidmatan menjangkakan keadaan perniagaan mereka akan lebih baik pada suku tahun ketiga 2018 dengan petunjuk keyakinan 16.5 peratus berbanding 8.6 peratus pada suku tahun kedua tahun ini.
Sementara itu, sektor-sektor lain iaitu industri dan perdagangan borong & runcit turut menjangkakan keadaan perniagaan mereka bertumbuh pada kadar sederhana dengan petunjuk keyakinan yang lebih kecil masing-masing pada 2.1 peratus dan 3.6 peratus.
Walau bagaimanapun, sektor pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan mereka kurang memberangsangkan dengan petunjuk keyakinan -7.7 peratus.
Menurutnya, majoriti responden di semua sektor yang diliputi iaitu 45.1 peratus menjangkakan hasil kasar mereka meningkat manakala 44.4 peratus menjangkakan tiada perubahan. Sebaliknya, 10.5 peratus responden meramalkan penurunan dalam hasil kasar.
Hasil dapatan survei ini menunjukkan kebanyakan perniagaan (80.3%) menjangkakan bilangan pekerja mereka kekal pada kadar yang sama bagi suku tahun ketiga 2018.
Hanya 11.5 peratus daripada perniagaan bercadang untuk menambah bilangan pekerja manakala 8.2 peratus perniagaan meramalkan penurunan bilangan pekerja.
Prestasi perniagaan bagi suku tahun kedua 2018 adalah positif dengan imbangan bersih keseluruhan 3.6 peratus. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh sektor perkhidmatan.
Secara keseluruhan, 38.5 peratus responden menyatakan terdapat peningkatan dalam hasil kasar bagi suku tahun kedua 2018, manakala 25.0 peratus responden menyatakan perniagaan mereka mengalami penurunan yang mendorong imbangan bersih 13.5 peratus.
Sebanyak 14.0 peratus perniagaan menyatakan mereka menggajikan bilangan pekerja yang lebih rendah pada suku tahun kedua 2018.
Sementara itu, lebih separuh daripada pertubuhan (72.2%) melaporkan jumlah pekerja kekal sama dan selebihnya 13.8 peratus pertubuhan melaporkan peningkatan.
Secara keseluruhan, imbangan bersih yang dicatatkan adalah lebih rendah sebanyak 0.2 peratus pada suku tahun kedua 2018.
Katanya, dijangkakan prestasi perniagaan akan terus bertumbuh bagi tempoh Julai hingga Disember 2018 berasaskan imbangan bersih +11.6 peratus bagi semua sektor yang diliputi.
Prospek perniagaan yang positif ini disokong terutamanya oleh sektor perkhidmatan yang paling optimis dengan imbangan bersih meningkat 25.3 peratus berbanding 15.3 peratus bagi tempoh April hingga September 2018. – MalaysiaGazette