Home Dunia Juan Napout dipenjara 9 tahun skandal rasuah bola sepak

Juan Napout dipenjara 9 tahun skandal rasuah bola sepak

NEW YORK – Bekas Ketua Persatuan Bola Sepak Amerika Selatan, Juan Angel Napout dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah dalam skandal rasuah pada 2015.

Agensi berita melaporkan, Napout, 60,  terlibat dengan salahlaku rasuah Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan hukuman penjara bekas ketua persatuan bola sepak Brazil, Jose Maria Marin, selama empat tahun membabitkan kes yang sama.

Menurut Hakim Persekutuan, Pamela Chen, hukuman tersebut selaras dengan siasatan serta bukti berhubung salahlaku selain menggunakan kuasanya untuk menerima suapan.

“Skandal rasuah dan penyewelengan masih lagi berlaku dalam bola sepak antarabangsa, siasatan dan bukti menunjukan dengan jelas tentang salahlaku yang telah dilakukan oleh anda.

“Hukuman seperti ini boleh membantu bagi mencegah daripada membiarkan salahlaku seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Napout yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Persatuan Bola Sepak Paraguay turut diperintah membayar denda sebanyak AS$1 juta (RM4.1 juta) berkuatkuasa serta merta.

Beliau juga diperintah mengembalikan kembali wang suapan sebanyak AS$3.3 juta (RM13.6 juta) yang diterimanya.

Antara tiga tuduhan yang berjaya dibuktikan Napout atas kesalahan rasuah termasuk pemberian hak penyiaran televisyen dan pemasaran acara besar sukan sebagai pertukaran untuk sogokan yang cukup lumayan.

Skandal rasuah telah menggegarkan FIFA sejak 2015 lalu sehingga menyaksikan Presiden, Sepp Blatter digantung tugas dan disiasat di bawah undang-undang jenayah di Switzerland. – MalaysiaGazette