KUALA LUMPUR – Anthony Martial hanya akan menandatangani kontrak baharu selama lima tahun di Manchester United dengan syarat Jose Mourinho dipecat.
The Guardian melaporkan United berharap Martial kekal untuk tempoh panjang di Old Trafford tanpa mengira status Mourinho sebagai pengurus kelab itu.
Martial dikatakan sedia mempertimbangkan tawaran itu kerana dia mendapat bayangan bahawa Mourinho akan dipecat.
Mourinho sebelum ini mendesak lembaga pengarah United untuk menjual Martial tetapi permintaan itu ditolak Ed Woodward.
Hubungan mereka menjadi tegang selepas pemain berusia 22 tahun itu lewat melapor diri pada kempen jelajah pra musim United di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.
Martial dilaporkan terbang ke Paris pada 26 Julai lalu untuk menemani teman wanitanya bersalin anak kedua mereka.
Sementara itu, masa depan Mourinho menjadi tidak menentu selepas United mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam tiga perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL).
United tewas 3-2 kepada Brighton sebelum dimalukan Tottenham Hotspur 3-0 di Old Trafford, pagi Selasa lalu.
Sekiranya United tewas kepada Burnley pada Ahad, lembaga pengarah mungkin terpaksa memecat pengendali dari Portugal itu. – MalaysiaGazette