Home Nasional Petron dilantik pembekal minyak kereta kerajaan

Petron dilantik pembekal minyak kereta kerajaan

Surat pelantikan Petron sebagai pembekal bahan api kenderaan kerajaan yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan melantik Petron Fuel International Sdn. Bhd. sebagai salah satu pembekal minyak untuk kenderaan kerajaan.

Surat pelantikan syarikat minyak yang berpangkalan di Filipina itu tular di media sosial.

Pembekalan bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan melalui Kad Inden.

Sumber-sumber memberitahu, surat berkenaan telah diedarkan kepada semua kementerian.

Difahamkan sebelum ini hanya syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sahaja dilantik oleh kerajaan terdahulu sebagai pembekal bahan api.

Pelantikan pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan difahamkan dibuat melalui tender.

MGF06022017_STESEN MINYAK04
Seorang pekerja membetulkan pam minyak di stesen PETRON, Bangsar.

Beberapa media mengaitkan pelantikan Petron itu dengan anak Perdana Menteri, Mirzan Mahathir, yang didakwa merupakan Pengarah Petron Corporation.

Pada tahun 2013, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd pernah mengesahkan Mirzan adalah salah seorang ahli Lembaga Pengarah Petron Corporation.

Mirzan dilantik dalam Lembaga Pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dan mempunyai 1,000 saham. – MalaysiaGazette