Home Seni Hidup Rosyam kini miliki 11,000 pokok durian belanda

Rosyam kini miliki 11,000 pokok durian belanda

Rosyam Nor
Pelakon, Datuk Rosyam Nor bersama stokis produk Adraa sempena Pelancaran Produk Adraa di Royale Chulan Damansara, Selangor. foto MIRZA HASIM, 29 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rosyam Nor kini memiliki hampir 11,000 pokok durian belanda sejak menceburi bidang pertanian itu lima tahun lalu.

Rosyam, 51, berkata, pada peringkat awal, beliau menanam sebanyak 3,000 pokok durian belanda.

Namun jelas beliau, ujian menimpanya apabila hanya 200 pokok yang menjadi.

“Saya tidak patah semangat dan menanam semula serta kini memiliki lebih 10,000 pokok durian belanda.

“Selepas lima tahun dan buat tiga penyelidikan, saya dapat mengeluar 3 produk berasaskan durian belanda di bawah jenama Adraa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk Adraa di sini semalam.

Di bawah jenama itu, Rosyam mengeluarkan tiga produk iaitu Teh Daun Durian Belanda, Pati Buah dan Ekstrak Daun Graviola (GG) serta Jus Minuman Durian Belanda.

Ketika kini, beliau memiliki tanah pertanian seluas 175 ekar di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan di Lanchang, Pahang menerusi penanamaan pokok durian belanda selain pokok nangka madu.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Nor Shamsuddin memberitahu, beliau melakukan penyelidikan tentang khasiat durian belanda dengan Taman Teknologi Malaysia (TPM) sebelum mengeluarkan produk Adraa.

Selain itu katanya, beliau turut menjalankan penyelidikan bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk setiap produk yang dihasilkan bagi menjamin mutu dan khasiatnya.

Beliau berkata, produk Adraa merupakan hadiah buat para peminat yang selama ini telah menyokong kerjayanya.

“Ini merupakan hadiah saya buat para peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya.

“Dengan kasih sayang dan sokongan peminat, saya sentiasa berusaha untuk mencapai pertumbuhan berterusan untuk memenangi reputasi sebagai sumber herbal yang terkemuka di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette