Home Nasional SST: Kerajaan pastikan pemaju tidak naikkan harga rumah – Zuraida

SST: Kerajaan pastikan pemaju tidak naikkan harga rumah – Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata penurunan harga itu diharapkan dapat membantu golongan B40 untuk memiliki rumah mampu milik.
Zuraida Kamaruddin.

PETALING JAYA – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa pada 1 Sept akan mengurangkan harga bahan binaan, selanjutnya menjadi antara mekanisme yang dapat menurunkan harga rumah di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata penurunan harga itu diharapkan dapat membantu golongan B40 untuk memiliki rumah mampu milik.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan berusaha memastikan tiada pihak mengambil kesempatan untuk sewenang-wenangnya menaikkan harga rumah berdasarkan kos-kos yang tidak munasabah.

“Jika hendak diikutkan selepas pelaksanaan SST harga bahan binaan akan mengalami penurunan. Tetapi daripada segi harga jualan untuk setiap unit rumah itu turut dipengaruhi oleh faktor lain seperti harga tanah dan perbelanjaan pengurusan.

“Saya tidak dapat jamin berapa peratus penurunan harga rumah selepas SST nanti, tetapi jika bahan binaan sudah berkurang kita akan bekerjasama dengan REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) serta pihak berwajib untuk memastikan tidak berlaku kenaikan harga rumah oleh pemaju,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zuraida berkata demikian selepas majlis perasmian Hub Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin yang berperanan sebagai platform latihan dan seminar bagi memperkasa golongan wanita oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Masdiana Muhamad.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata KPKT akan memperketat dan memperkemas polisi pemilikan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi menangani isu pengutipan sewa haram di blok kediaman PPRT yang terbabit.

Sehubungan itu, Zuraida menggesa penghuni khususnya di PPRT Lembah Subang 1 di sini, membuat laporan polis berhubung dakwaan kegiatan penyewaan haram yang berlaku kawasan kediaman mereka.

“Bila berlaku kes sebegini, haruslah dibuat laporan polis untuk membantu kementerian mengambil tindakan sewajarnya ke atas dalang ‘pencerobohan’ serta penduduk warga asing yang menyewa di PPRT berkenaan.

“Sebanyak 107 unit rumah PPRT Lembah Subang 1 masih kosong ketika ini, dan didapati 837 unit rumah terbabit diduduki (oleh) bukan pemilik sebenar. Kita akan membuat penyelarasan bagi memastikan semua unit kosong akan dihuni oleh pemohon yang sudah lama menunggu,” katanya.

Zuraida turut memberi amaran tindakan tegas seperti pengusiran, penalti serta merampas semula hak pemilikan akan dikuatkuasakan mulai 1 Okt sekiranya penyewa gagal mematuhi syarat ditetapkan.

KPKT ketika ini masih menunggu laporan penuh membabitkan semua PPRT di negara ini untuk mengetahui status sebenar sekiranya terdapat kes seumpamanya, katanya.

— BERNAMA